Gambar : Instagram Kamal Adli
Bulan lalu, sewaktu aktor terkenal Kamal Adli berada di Barcelona, Sepanyol untuk satu penggambaran di sana, dia telah ditimpa dengan insiden ragut yang melibatkan kerugian besar.
Kamal menyatakan yang begnya yang diragut tersebut mengandungi wang tunai berjumlah RM10,000 bersama dokumen-dokumen penting termasuklah MyKad, pasport dan visa.
Pelakon ini turut mengakui yang dirinya telah terleka kala sibuk mengambil gambar pemandangan indah ketika itu.
“Kesilapan sendiri juga memandangkan ketika kejadian saya leka mengambil gambar pemandangan sekeliling. Beg sandang berkenaan saya letakkan di atas bagasi pakaian. Kejadian berlaku dengan pantas apabila sekelip mata ia hilang. Memang peluh sejuk terus mencurah-curah mengenangkan pasport juga disimpan dalam beg itu selain duit belanja sepanjang perjalanan di negara orang,” kata Kamal kepada BH Online.
Bagi Kamal, kehilangan pasport dan visa di negara asing adalah yang paling sukar untuk dilalui kerana pelbagai prosedur harus dipatuhi. Walaubagaimana pun dia bersyukur kerana masih ada sedikit simpanan di dalam akaun bank miliknya untuk kegunaan di sana.
Dalam pada masa yang sama, Kamal telah menerima bantuan dari Kedutaan Malaysia di London dan juga imigresen di sana. Kamal sangat berterima kasih akan bantuan tersebut kerana sedikit sebanyak meringkan bebannya untuk membuat kembali pasport dan visa yang hilang.
“Saya buat pasport baharu di London. Soal ini memang rumit kerana pasport dan visa bukan boleh dapat serta merta. Saya dapat kembali pasport baharu dalam tempoh seminggu. Saya nak ucapkan terima kasih kepada di sana kerana banyak membantu memudahkan proses berkenaan,” kata aktor ini lagi kepada BH Online.
Kamal turut menyatakan yang insiden berkenaan telah berlaku di hadapan Hard Rock Cafe di Barcelona. Ketika itu sememangnya ramai orang yang keluar masuk dari permis berkenaan dan ini menyulitkan proses untuk mengesan peragut tersebut.