Oleh: Farhana Fuad
Gambar: Blue Star Line
Perkataan Titanic sememangnya memberikan bayangan kepada tragedi yang berlaku pada tahun 1912. Meskipun ianya sudah berabad lamanya, namun tragedinya masih segar di ingatan ramai kerana ia antara sejarah dunia yang cukup terkenal apatah lagi apabila filem Titanic arahan James Cameron menjadi antara filem paling laris sepanjang zaman. Ianya pernah menjadi fenomena, bahkan sehingga kini filem tersebut masih diminati ramai.
Mungkin ramai yang tidak mengetahui akan perancangan atau usul yang dikemukakan oleh seorang billionaire dari Australia, Clive Palmer yang sudah bercadang untuk menghasilkan replika kapal Titanic yang tenggelam di utara laut atlantik. Palmer mengumumkannya kepada media dua tahun lalu.
Kini, kapal replika Titanic sudah hampir siap sepenuhnya dan sedang bersedia untuk memulakan pelayaran pertamanya dari Southampton ke New York tahun hadapan. Menurut Palmer, kapal replika Titanic ini dihasilkan demi merealisasikan cita-cita kapal Titanic serta keinginan ramai penumpang yang menjadi mangsa nahas tersebut untuk tiba dengan selamat di kota New York dari Southampton, England.
Titanic II dicipta sepenuhnya di China dan akan dikendalikan penuh oleh syarikat Blue Star Line. Berciri dan berkonsepkan sepenuhnya kapal Titanic serta penumpang akan merasakan seperti menaiki kapal Titanic yang menjadi memori pahit sejak berabad lalu. Dengan dekorasi sepenuhnya regalia tahun 1920, kemudahan, kamar tidur yang mempunyai tiga kelas dan banyak lagi yang boleh mengimbas kenangan Titanic.
Perbezaannya boleh diihat melalui sistem pelayaran yang lebih moden, penambahan bot penyelamat yang cukup buat semua penumpang dan anak kapal serta keluasannya yang boleh memuatkan hampir 2600 orang.
Dek kelas pertama dan ketiga pastinya buatkan ramai penumpang terbayang akan adegan filem Titanic yang membawa dua watak yang menjadi simbolik utama filem tersebut, Jack dan Rose yang dilakonkan oleh Leonardo DiCaprio bersama Kate Winslet. Yang pastinya, kita nantikan pelayaran julung kali Titanic II tahun hadapan demi melakar sejarah dan penghormatan buat Titanic.
Tonton video perkembangan Titanic II untuk lebih keterujaan serta infomasi lanjut.