Adam Driver menjadi suntingan terbaru Burberry untuk kempen haruman terkininya, Burberry Hero. EH! kumpulkan 10 foto seksi aktor tinggi lampai ini di penggambaran eksklusif ini.
Burberry Hero menjadi haruman debut Riccardo Tisci di Burberry dan dia memilih untum bekerjasama dengan Adam Driver sebagai wajah rasmi Haruman sulungnya itu. Bintang ‘Star Wars’ itu dalam satu perkongsiannya berkata, “Saya sangat berbesar hati apabila diberi peluang untuk menjadi wajah kempen haruman terbaru Burberry dan tambah istimewa ini adalah haruman pertama Riccardo Tisci bersama Burberry,”
Kempen Haruman ini dirakamkan di persisiran Pantai yang mana menyaksikan Adam berlari laju bersama kuda menuju ke laut yang berakhir dengan kedua-duanya berenang di dalam laut nan biru. Menurut Riccardo Tisci haruman ini adalah interpretasinya dalam menyatukan elemen maskulin dan kekuatan dengan sensitiviti dan emosi. “Saya mahu haruman ini menonjolkan definisi kelakian moden, menyerlahkan kekuatan dan sensitiviti agar ia seiring. mencipta haruman adalah satu proses yang cukup peribadi dan intim, dan itu lebih saya rasakan dalam perjalanan menghasilkan Burberry Hero.”
Tentang pemilihan Adam sebagai wajah rasmi minyak wangi ini, Riccardo berkata, “Adam merupakan individu yang hebat, dia memiliki karakter dan memenuhi definisi maskulin hari ini, nilai kekuatannya tidak nampak bersahaja dan emosinya pula tampak berkuasa.
Untuk kempen Burberry Hero, Riccardo memilih Mario Sorrenti untuk merakamkan fotonja manakala Jonathan Glazer untuk mengarahkan filem kempen yang sudah pun dilancarkan beberapa hari lepas.
Inti Pati Burberry Hero
Untuk menghasilkan haruman ini, Riccardo Tisci berkongsi buah fikir dengan pakar Haruman, Aurélien Guichard yang mana kedua-duanya bersetuju untuk bermain dengan aroma kayu-kayan apabila mereka menyatukan kayu sedar (cedarwood) dari tiga sumber berbeza yakni dari pergunungan Himalaya, gunung Atlas dan juga dari Virginia. Mereka juga sepakat untuk meramu bahan tersebut dengan juniper dan lada hitam untuk mencipta bau yang lebih sensasi.
Jika diperhatikan pada botolnya, ia tampak cukup bersahaja, itulah yang saya suka. Kelalangnya tampil cukup ringkas namun nampak ada kelas dalam jiwa yang sungguh moden. Riccardo membuktikan sesuatu yang ringkas itu tidak semestinya sesuatu yang membosankan.
Haruman ini dijadualkan berada di pasaran minggu hadapan dan hadir dalam tiga saiz botol berbeza, 50ml, 100ml dan 150ml. Sementelah kaunter haruman masih belum dibuka boleh dapatkannya di laman sesawang Burberry Sendiri.