Gambar: INGimage
Jika anda menginginkan kulit yang tidak bermasalah serta sentiasa sihat dan bersih dari sebarang jerawat atau penuaan, usah terlalu malas dengan penjagaan rapinya. Sememangnya kulit sekali-sekala perlukan rawatan di spa, namun tatkala di rumah juga perlukan penjagaan yang rapi agar kulit tidak mudah bermasalah.
EH! kongsikan 10 peraturan penting dalam menjaga kulit.
Lindungi kulit dari cahaya matahari
Untuk memastikan kulit sentiasa sihat, jangan sesekali keluar rumah tanpa menggunakan sebarang krim tabir suria. Gunakan krim pelindung selaran UV yang tinggi dengan kandungan SPF, seeloknya 50 ke atas dan PA+++ untuk melindungi kulit daripada sinara UVA.
Gunakan sabun yang lembut
Adakah kulit anda menjadi kering terutama sekali selepas mandi? Amatlah penting untuk menggunakan sabun yang lembut kandungannya dan bebas buih. Selalunya sabun yang menghasilkan banyak buih tinggi dengan kandungan bahan kimia lantas menjadikan kulit kering dan tidak berseri, jadi seeloknya elakkan dari menggunakannya serta cari krim mandian susu kambing.
Gunakan pancuran dan elakkan takungan air
Pancuran air sebenarnya lebih elok berbanding mandian dalam tab kerana ia akan membuat kulit dihidrat. Bukanlah tidak boleh langsung, tetapi seeloknya kurangkan. Pastikan air pancuran bersuhu suam dan tidak terlalu panas, kerana air panas hanya akan mengeringkan kulit.
Keringkan kulit
Sebelum selesai mandi, pastikan badan anda dibilas bersih dari buih sabun kemudian keirngkan badan menggunakan tuala dengan teknik ‘patting’ bermula dari badan hingga ke kaki. Jangan sesekali menggosok dengan kuat melainkan anda mahu kulit anda menjadi kering dan mengelupas.
Lembapkan kulit setiap hari
Jadikan pemakaian losen atau pelembap sebagai rutin harian anda. Selepas anda keringkan badan, lumurkan losen yang sesuai dengan kulit anda. Ia akan membantu mengembalikan lapisan ‘hydrolipidic’ yang bertindak melindungi kulit.
Lindungi kulit di tempat sejuk
Sekiranya anda bercuti ke tempat yang sejuk, pastikan anda memakai baju panas yang secukupnya. Yang paling penting lindungi tangan anda, ini kerana cuaca yang sejuk ditambah pula dengan sinaran matahari menjadikan peratus kulit anda lebih kering sangat tinggi.
Minum air yang cukup
Untuk kulit kekal cantik dan bersinar, kulit anda memerlukan sekurang-kurangnya lapan gelas air sehari. Amalkan pengambilan air teh di waktu pagi , air mineral untuk sepanjang hari dan teh herba di malam hari.
Amalkan pemakanan sihat
Pemakanan yang sihat dan diet seimbang adalah bagus untuk badan, malah kulit juga akan menerima kebaikan yang sama. Setiap hari anda perlu makan buah-buahan dan sayuran yang mana ia kaya dengan antioksida, lantas dapat mengekalkan kulit yang cantik dan sihat.
‘Beauty sleep’
Tidur yang cukup adalah seperti tujuh, lapan dan sembilan jam sehari. Jika cukup tidur anda, maka cukuplah ia memberikan kebaikan pada kulit, hasilnya kulit akan jadi lebih bersinar dan sihat. Tapi ingat, jangan tidur lewat!
Berhenti merokok
Sekiranya anda adalah salah seorang perokok tegar, hentikannya. Ia bukanlah satu keperluan dan tidak memberi kebaikan, malah hanya merosakkan sel-sel dalam kulit. Kesannya mungkin bukan sekarang tetapi lambat laun anda akan dapati kulit anda menjadi lebih tua daripada umur. Jadi baik berhenti sebelum terlewat.