YSL Beauté Touche Éclat Radiant Touch
Entahlah, saya rasa kalau mahu menghasilkan produk yang ikonik mungkin bekasnya mestilah berwarna keemasan. Dicipta oleh Terry de Gunzburg, idea mencipta YSL Beauté Touche Éclat Radiant Touch tercetus apabila Terry menerima sebuah bungkusan dari YSL yang berisi glos bibir dan sebatang pen. Sebagai jurusolek dia selalu mencampurkan bedak asas, penyegar dan pelembap untuk membuatkan wajah lebih berseri. Jadi dia terfikir untuk menyatukan kesemuanya dalam sebatang pen yang boleh dicalit pada bawah mata atau dijadikan sebagai penyamar cela. Dia mendapatkan khidmat bantuan makmal di Jepun untuk merealisasikan buah fikirnya ini. Selepas dia dilantik sebagai pengarah kreatif di YSL dia mula melancarkan penyamar cela ini dan ia habis dijual di seluruh dunia pada dua minggu pertama ia dijual.