NARS Orgasm
Saya mula mengenali NARS Orgasm sewaktu sering bekerja dengan jurusolek selebriti, Khir Khalid. Dia memang sangat suka menggunakan Orgasm, dan waktu itu NARS belum dijual di Malaysia lagi. NARS Orgasm dicipta pada tahun 1999 oleh Francois Nars sendiri, dan menurutnya dia memilih namanya dulu sebelum mencipta warna pemerah pipi itu. Orgasm sangat universal warnanya, ia menyatukan ton sejuk dan panas, warna pic, merah jambu dan keemasan mesra bersatu dan sesuai dengan semua ton kulit. Menurut Francois Nars, kejayaan Orgasm mungkin kerana dua faktor utama iaitu nama dan warnanya. Jika namanya tidak catchy pasti warna yang diciptanya itu sekadar pemerah pipi biasa, dan jika tidak kerana warnanya pula, Orgasm mungkin tidak jadi kesukaan. “Saya hanya mahu orang ‘orgasm’ dengan hanya membeli pemerah pipi,” kongsinya dalam satu temubual.