Tahun 2024 menyaksikan jenama-jenama kecantikan lokal yang berjaya menggoncang industri kecantikan dengan inovasi, dan visi tersendiri dalam memenuhi kehendak pengguna setia mereka dalam mencipta pengalaman kecantikan yang tidak hanya memfokuskan pada luaran, tetapi juga memberikan kualiti setanding jenama antarabangsa.
Industri kecantikan tempatan semakin gah dengan pelbagai jenama baru yang berjaya mencipta gelombang dalam pasaran. Tahun 2024 menyaksikan beberapa jenama lokal yang bukan sahaja meraih perhatian, malah memukau hati pengguna dengan produk berkualiti dan konsep yang unik. Berikut EH! senaraikan lima jenama kecantikan lokal yang telah berjaya mencuri perhatian kami tahun ini!
Intai Lima Jenama Kecantikan Lokal Yang Mencuri Perhatian Tahun 2024;
1. TK By Tyra
Selepas melalui proses ‘rebirth’, TK By Tyra yang dahulunya dikenali sebagai Beautyra kini tampil dengan aura baru yang lebih mewah. Penjenamaan semula ini menonjolkan konsep eksklusiviti dengan rekaan pembungkusan yang lebih elegan dan moden. Masih mengekalkan produk kecantikan ikonik mereka seperti pemerah pipi, gincu bibir dan hair to toe mist, Setiap produk bukan sahaja memenuhi standard kecantikan, tetapi turut memberi pengalaman premium kepada pengguna. Jika anda mencari jenama lokal dengan sentuhan estetika yang memukau, TK By Tyra adalah pilihan tepat.
2. HGYR
Jenama HYGR lahir daripada sebuah perjalanan yang penuh makna. Bermula dengan Meng, yang berdepan dengan masalah bau badan, dan Ivor, yang mengalami masalah bibir kering dan berdarah, mereka akhirnya menemui jalan penyelesaian kreatif yang bukan sahaja berkesan, tetapi mesra alam. HYGR dibangunkan dengan semangat untuk mengurangkan sisa plastik dan mempromosikan gaya hidup lestari. Hadir dengan produk penjagaan diri seperti deodorant dan lip balm menjadikan jenama ini sebagai pilihan bagi mereka yang ingin menjaga diri dan bumi pada masa yang sama.
3. CUURA
Diasaskan oleh Sarah Shah Nor, pengasas rumah fesyen multilabel terkenal Modvier, Cuura hadir untuk mengisi kekosongan dalam pasaran penjagaan kulit lokal. Fokus utamanya adalah untuk memperkenalkan produk berasaskan bahan semula jadi. Dengan tagline “kulit sihat sebelum solekan,” Cuura menampilkan produk penjagaan kulit yang menggunakan bahan organik dari seluruh dunia. Produk unggulan mereka, Pure Beauty Oil, adalah gabungan minyak premium yang dirumus khas untuk kulit sensitif. Dengan dua stor fizikal di TRX dan KL East Mall, Cuura bukan sahaja menawarkan produk berkualiti tetapi juga pengalaman gaya hidup yang unik. Tahun 2024 adalah tahun di mana Cuura benar-benar menyerlah, menjanjikan lebih banyak kejayaan di masa depan.
4. Mare by Marion
Siapa yang tidak mengenali ikon fesyen dan model terkenal Marion Caunter? Setelah mencipta kejayaan dengan salun rambut HAIRPLAY di Publika pada 2013, Marion melancarkan jenama kecantikan pertamanya, Mare. Dimulakan dengan Mare More Is More Hair Vitamins, suplemen harian yang membantu menguatkan rambut dengan biotin, multivitamin, dan saw palmetto, ia hadir dalam bentuk sachet yang mudah diambil, dengan rasa beri dan pic yang menyegarkan. Kali ini, Marion memperkenalkan Lip Slick, lip oil yang memberikan kelembapan dan tanpa rasa melekit. Dengan inovasi berterusan, Mare terus menjadi pilihan utama wanita yang cintakan kecantikan, menjadikan 2024 sebagai tahun penuh kejayaan bagi jenama ini.
5. Ellemkay
Baru sahaja mencipta kejayaan besar dengan pelancaran produk pertama, Baby Blush, yang habis terjual dalam masa kurang dua jam, Ellemkay kini menghiasi dunia kecantikan dengan dua tona Baby Blush yang memukau: Kisses dan Darling. Diasaskan oleh Ameera Khan, atau lebih dikenali sebagai Little Miss Khan, Ellemkay membawa pendekatan segar dan inovatif ke dunia kecantikan. Sebelum ini dikenali melalui LMK Cosmetics, Ameera kini memperkenalkan jenama kecantikan terbaru yang mengutamakan kesederhanaan dan keanggunan dalam setiap produk. Dengan tekstur ringan dan warna yang serasi dengan pelbagai tona kulit, Baby Blush menjadi pilihan utama mereka yang inginkan wajah berseri dan semulajadi. Produk ini boleh didapati secara eksklusif di ellemkay-shop.com, dan merupakan penutup terbaik 2024.
Artikel Berkaitan: Intai Produk Kecantikan Pilihan EH! Sepanjang Tahun 2024