Saban bulan ada sahaja minyak wangi baharu, dan tiap satu yang muncul akan hadir dengan cerita dan inspirasi berbeza. Samalah juga dengan lima yang EH! senaraikan ini, tiap satu ada kisahnya. Persoalannya, mana satu yang kena dengan jiwa buah hati anda?
Hermes Ginseng Biloba
Hermes memperkenalkan koleksi Hermessence sejak tahun 2004. Himpunan ini menonjolkan keunikan bahan alam dan diabadikan dalam sebotol haruman. Sebelum ini Vétiver Tonka, Iris Ukiyoé dan Musc Pallida menjadi pilihan Hermes. Kini jenama fesyen Paris ini menerokai ginseng sebagai bahan fokal dalam koleksi Hermessence.
Ginseng mungkin bukanlah inti pati popular di dalam haruman. Namun ia bukan sesuatu yang pelik. Hermes mengabadikan akar ginseng biloba bersama ginkgo untuk penghasilan Ginseng Biloba.
Kata Christine Nagel, pengarah kreatif Hermes Perfumes,haruman ini adalah satu penghormatan kepada bahan semula jadi ginseng.
Le Labo SHIU 25- Beijing
City Exclusive Collection dicipta oleh Le Labo sebagai satu pernghormatan kepada kota-kota yang mereka sukai. Dan lazimnya hanya boleh dibeli di kota tertentu sahaja dan tidak juga boleh dibeli secara dalam talian. Tetapi, setahun sekali Le Labo akan membuka ruang untuk koleksi eksklusif ini mengembara ke kota lain.
Bulan ini SHIU 25- Beijing diangkat sebagai bintang dari koleksi eksklusif ini. Aromanya adalah gabungan nota iris dan olibanum.
Aesop, Unforeseen Aer Eau de Parfum
“How might change enrich us?”, ini adalah inspirasi utama di sebalik pembikinan haruman terbaru Aesop ini. Sama seperti haruman lain, inspirasi minyak wangi ini juga muncul dari unsur alam.
Pakar haruman di Aesop cuba mengilhamkan sebuah haruman yang mengajak kita untuk melihat sisi lain di sebalik kekurangan. Jadi, haruman ini cuba menentang kebiasaan menerusi gabungan bahan aromanya.
Unforeseen Aer menggabungkan Fabulist Accord daripada Geranium, Lavandin, dan Rosemary yang membangkitkan aroma udara segar dan tulen di puncak gunung. Kombinasi aroma yang sangat segar ini kemudiannya digandingkan pula dengan Ramuan Radikal iaitu Buah Pala (Nutmeg), yang menonjolkan keunikan sifat tidak sempurna menerusi kehangatan aromanya yang kompleks dan bertekstur.
Aesop, Unforeseen Aer Eau de Parfum berada di pasaran Oktober nanti.
Maison Francis Kurkdjian OUD Velvet Mood
Francis Kurkdjian menonjolkan minat mendalamnya dalam dunia fesyen menerusi cara dia berinspirasi dalam penghasilan haruman. Dia mendapat inspirasi daripada tekstur pelbagai jenis fabrik untuk mencipta ekspresi oud yang cukup unik.
Selepas memukau peminat minyak wangi dengan kehalusan sutera menerusi OUD silk mood dan kelembutan fabrik satin yang beralun dalam OUD satin mood, Francis Kurkdjian kini membawakan pula kelembutan dan kemewahan baldu yang menggoda melalui OUD velvet mood—sekaligus menambah sebuah lagi koleksi agung (masterpiece) ke dalam barisan wangian ikonik rumah minyak wangi ini.
Melalui OUD velvet mood, Francis Kurkdjian mengukuhkan lagi identiti dan sentuhannya sebagai seorang pakar wangian khas dari Paris.
Di sebalik keharuman utama OUD velvet mood, karakter asli kayu gaharu yang kasar, dilembutkan dengan nota buah pic yang ceria dan bertekstur. Digabungkan bersama unsur eksotik bunga osmanthus yang seakan-akan aroma kulit (leather) dan aprikot, gabungan harmoni suede.
Bauannya yang memikat dan moden ini terasa bagaikan kehangatan belaian yang lembut dan perlahan. Ia merangsang deria, seolah-olah sehelai fabrik mewah yang menyentuh kulit anda secara lembut—sebuah nikmat yang harus dirasai perlahan-lahan tanpa henti.
Valentino Beauty, Vendetta Uomo
Vendetta Uomo, sebuah haruman hasil seni pakar haruman terkemuka Marie Salamagne. Minyak wangi ini menggabungkan unsur buan woody, berempah, dan manis yang penuh dengan elemen kejutan dan tekstur unik.
Bila mula-mula disembur, anda akan terus rasa segar dan bertenaga! Bauan ini dibuka dengan impak padu ekstrak halia CO2 dari Peru yang dipadankan pula dengan kesegaran sitrus Itali.
Magisnya terletak pada nota tengahnya yakni gabungan bauan likur kayu manis (cinnamon liquor accord) yang hangat dan memikat. Percikan pati patchouli (pari-pari) yang mantap dan bauan kayu moden yang maskulin membuatkan aromanya melekat lama dengan penuh karakter.
Aktor, Alexander Skarsgård menjadi wajah rasmi haruman Valentino Beauty ini.
ARTIKEL BERKAITAN: 10 Produk OLIVE YOUNG Yang Kini Boleh Dibeli Di Sephora Malaysia






