Penting untuk kita tahu walau sehebat mana pun formulasi produk yang dijanjikan, krim anti-selulit bukanlah magik dalam botol. Ia tidak akan menghapuskan masalah selulit sepenuhnya, tetapi apa yang ia boleh membantu adalah memperbaiki tekstur dan penampilan kulit kita menjadikannya tampak lebih licin, sekata dan kurang berlekuk dari sebelumnya.
Ya, selulit itu perkara biasa. Hampir setiap wanita memilikinya, tak kira bentuk badan atau saiz pinggang. Tapi hakikat yang kita tahu ia normal, tak bermakna kita tidak berhak untuk rasa kurang selesa dengan penampilannya. Walaupun selulit ini tidak berbahaya tetapi ia cukup untuk membuat kita rasa ragu-ragu bila mengenakan skirt pendek atau baju renang kegemaran. Biasanya ia ‘singgah’ di kawasan pinggul, peha, punggung dan perut, kawasan yang paling banyak menyimpan lemak di bawah permukaan kulit. Apabila lemak ini menolak tisu penghubung, ia mencipta rupa kulit berlekuk, berombak dan tidak sekata.
Walaupun tiada solusi ajaib untuk menghapuskan selulit, ada cara untuk memperbaiki penampilannya. Kini, semakin banyak produk kecantikan di pasaran yang diformulasi khas untuk membantu menegangkan kulit, mengurangkan rupa selulit dan menjadikan tekstur kulit lebih halus. EH! senaraikan 5 produk yang sering viral dan direkomendasi oleh para peminat kecantikan, mana tahu salah satunya menjadi penyelamat dalam rutin penjagaan tubuh anda.
1. Sol de Janeiro Brazilian Bum Bum Cream (RM 245)
Kalau ada satu produk yang benar-benar menangkap semangat wanita Brazil iaitu berani, seksi dan penuh keyakinan ia pasti Brazilian Bum Bum Cream yang dikenali sebagai obsesi kecantikan negara itu, krim tubuh yang dinamakan sempena bum bum (punggung) ini bukan sekadar cantik di luar, tapi penuh dengan kebaikan untuk kulit.
Diperkaya dengan ekstrak guaraná yang tinggi kandungan kafein, ia bertindak menegangkan dan memperbaiki rupa kulit yang berlekuk, sambil membantu melancarkan peredaran darah untuk kesan yang lebih ‘firm’ dan licin. Cupuaçu butter pula bertindak seperti pelembap magis memberi hidrasi mendalam, melembut dan menyuburkan kulit dari dalam. Dan krim ini juga mengandungi minyak kacang Brazil, sumber selenium semula jadi yang membantu kulit jadi lebih kuat, lebih sihat dan bersinar secara natural.
2. COCO & EVE Glow Figure Body Moisture Whip Moisturiser (RM 181)
Bayangkan anda menyapu sesuatu yang bukan saja wangi, tapi juga buat kulit rasa alive semula. Dengan campuran buah-buahan eksotik seperti betik, manggis dan mangga, setiap sapuan bantu mencerahkan kulit kusam dan beri semula ‘bounce’ yang hilang. Kelapa dan koko pula menyuntik kelembapan menyeluruh menjadikan kulit terasa lembut, licin dan selesa sepanjang hari. Diperkaya dengan asid amino yang boleh membantu melawan selulit dari dalam, sambil menegangkan dan menghidrat kulit secara semula jadi. Jadi kalau anda selalu struggle dengan kulit kering, krim ni boleh menjadi penyelamat. Teksturnya kaya, aromanya menenangkan, dan hasilnya buat anda jatuh cinta setiap kali menyapu.
3. FRANK BODY Booty Drops Firming Oil (RM 89)
Jika anda sedang memburu produk yang boleh menegangkan dan menyegarkan kulit tubuh, FRANK BODY Booty Drops Firming Oil wajib masuk dalam list kecantikan anda. Dirumus dengan kafein dan nutrien semula jadi, minyak badan ini bukan sekadar pelembap, tetapi merupakan rahsia untuk kulit lebih anjal dan sekata. Minyak badan ini boleh digunakan secara bersendirian atau dicampur bersama losen tubuh kegemaran anda untuk manfaat berganda. Kafein yang terkandung di dalamnya berfungsi sebagai agen penegang yang merangsang penghasilan kolagen, menjadikan kulit lebih tegang dan menambah kelembutan secara semula jadi.
Tidak hanya itu, minyak biji anggur dan jojoba memberikan kelembapan mendalam, mengurangkan kesan kulit berlekuk dan tidak sekata, menjadikan kulit terasa lebih lembut dan halus setiap kali disapu. Sementara itu, ekstrak akar lobak merah bertindak sebagai agen anti-radang yang kuat yang merangsang pembaharuan sel kulit dan menjadikan kulit anda lebih segar, sihat dan bertenaga dari dalam.
4. ELEMIS Japanese Camellia Body Oil Blend (RM 280)
Jika anda sedang mencari minyak badan yang bukan sahaja mewah tetapi berkesan, Elemis Japanese Camellia Body Oil adalah jawapannya. Diformulasi khas untuk kulit ibu mengandung dan selepas bersalin, body oil ini mampu melembapkan badan secara mendalam sambil membantu mengurangkan kemunculan kesan regangan pada kulit.
Kaya dengan kolagen dan campuran minyak botanikal, teksturnya yang halus menyerap pantas ke dalam kulit, meninggalkan rasa lembut sahaja disapu. Menariknya, ia turut diformulasikan dengan aromaterapi gred terbaik yang bukan sahaja menenangkan deria, malah menjadikannya pilihan kegemaran ramai selebriti antarabangsa. Minyak ini juga boleh digunakan untuk melembapkan kuku, rambut dan kulit kepala bagi penjagaan menyeluruh dari hujung rambut hingga hujung kaki.
Jika anda benar-benar mahu mengurangkan masalah selulit, percayalah krim dan losen sahaja tidak mencukupi. Untuk hasil yang lebih efektif, kulit anda juga perlukan rangsangan fizikal, dan di sinilah massage tool daripada PoP Neutral menjadi pelengkap wajib dalam rutin penjagaan tubuh harian anda. Bukan sekadar ‘cantik’ dalam rupa, tetapi juga diperbuat sepenuhnya secara handmade daripada kayu getah Hevea.
Untuk kesan terbaik, urut kulit dengan tekanan lembut menggunakan gerakan ke atas, terutama pada kawasan yang cenderung mengalami selulit seperti peha, punggung, pinggul dan perut. Teknik ini membantu merangsang sistem limfa, satu proses penting dalam menyingkirkan toksin dan mengurangkan pengekalan air. Disarankan anda mengunakan bersama minyak tubuh semula jadi atau losen agar pergerakan lebih lancar, selesa dan tidak menyakitkan.
Artikel Berkaitan: EH! Select: Produk Pilihan EH! Edisi Syawal