Daripada majlis pertunangan, akad nikah hinggalah kenduri rakyat di Muar dan Kota Kinabalu, Bella Astillah tampil dengan pesona berbeza menerusi setiap persalinan dan gaya solekan. Di sebalik seri wajahnya, enam jurusolek tempatan diberikan kepercayaan untuk menyempurnakan penampilan istimewanya bersama Syed Saddiq.
Sepanjang meraikan detik istimewa bersama Syed Saddiq, Bella Astillah bukan sahaja mencuri perhatian menerusi pilihan busana yang memukau, malah setiap penampilannya turut menjadi bualan kerana sentuhan solekan berbeza bagi setiap majlis. Daripada gaya soft glam hinggalah solekan lebih glamor setiap penampilan Bella mempunyai karakter tersendiri mengikut tema dan suasana majlis.
Menariknya, Bella turut memberikan kepercayaan kepada enam jurusolek tempatan untuk menyempurnakan penampilannya sepanjang rangkaian majlis tersebut. Jom kenali barisan MUA yang berada di sebalik seri wajah Bella Astillah.
1. Aiman Shahiran (@flackitsman) – Majlis Pertunangan
Kita mulakan dengan majlis pertunangan Bella dan Syed Saddiq yang berlangsung pada 28 Mac 2026. Untuk momen istimewa tersebut, Bella mempercayakan Aiman Shahiran atau lebih dikenali sebagai Flackitsman untuk menata rias wajahnya. Mengangkat konsep glamor klasik, Aiman memilih palet rona neutral yang lembut, bibir bernada nude serta kemasan kulit yang menyerlahkan seri wajah Bella. Meskipun hasil solekannya menerima pelbagai reaksi dalam kalangan peminat, Bella sendiri tampil mempertahankan hasil kerja Aiman menerusi perkongsian, “Terima kasih Aiman sayang. Bella suka! Titik.”

2. Aus Hamdan (@austouxh) – Majlis Akad Nikah
Bagi majlis akad nikah pada 10 Oktober 2026, Bella memilih sahabat baiknya sendiri, Austouxh atau Aus Hamdan, untuk menata rias wajahnya. Bukan sekadar menjalankan tanggungjawab sebagai jurusolek, peluang tersebut pastinya membawa makna tersendiri buat Aus apabila dapat menjadi sebahagian daripada hari paling istimewa dalam kehidupan sahabatnya. Menerusi sentuhan soft bridal glam, Aus menyerlahkan kecantikan Bella dengan kemasan kulit bercahaya, rona hangat pada bahagian mata serta bibir berkilau. Kepercayaan Bella terhadap Aus tidak terhenti di situ apabila jurusolek tersebut turut diberikan tanggungjawab untuk menata riasnya sekali lagi bagi majlis resepsi.
3. Sharhim Khan (@sharhimkhan) – Majlis Bersama Peminat BASS
Pada 11 Oktober 2026, Bella dan Syed Saddiq meraikan hari bahagia mereka bersama peminat menerusi majlis BASS yang berlangsung di Shangri-La Kuala Lumpur. Untuk majlis tersebut, Sharhim Khan diberikan kepercayaan untuk menyempurnakan solekan Bella. Penampilannya yang mengangkat konsep romantis dan feminin cukup serasi dengan persalinan rekaan Rizman Ruzaini. Gabungan solekan Sharhim dan dandanan rambut oleh Syuk Qadir melengkapkan penampilan Bella yang tampak anggun dan elegan.

4. Datuk Alha Alfa (@alhaalfa) – Malam Berinai
Beralih ke malam berinai, Datuk Alha Alfa pula diberikan kepercayaan untuk menyempurnakan penampilan Bella. Menerusi perkongsiannya, Alha mendedahkan bahawa Bella mahukan solekan yang ringkas, manis dan segar dengan sentuhan rona merah jambu. Malah, pemilihan bulu mata yang tidak terlalu dramatik turut menjadi antara perincian yang diberikan perhatian bagi menghasilkan penampilan feminin dan bersahaja. Alha turut mengingatkan orang ramai agar tidak membandingkan hasil solekan setiap MUA kerana masing-masing mempunyai konsep dan rujukan tersendiri mengikut permintaan pengantin.

5. Nadia Nordin (@Makeupbynadianordin) – Kenduri Rakyat, Muar
Bagi meraikan hari bahagia di sebelah keluarga Syed Saddiq pada majlis kenduri rakyat yang berlangsung pada 25 Oktober 2026 di Muar, Johor. Bella mempercayakan jurusolek Nadia Nordin untuk menyempurnakan solekannya. Berlangsung dari jam 2 hingga 6 petang, majlis tersebut turut mengangkat tradisi rewang dengan penduduk setempat. Malah, Bella dan Syed Saddiq turut menggalakkan tetamu mengenakan pakaian tradisional Johor, termasuk Baju Melayu Teluk Belanga. Lebih istimewa, majlis ini menerima kehadiran lebih 10,000 tetamu dari pelbagai negeri.

6. Azni Hadi (@azni.hadi) – Kenduri Rakyat, Kota Kinabalu
Melengkapkan senarai ialah Azni Hadi yang bertanggungjawab menata rias Bella ketika Kenduri Rakyat di Kota Kinabalu, Sabah pada 31 Oktober 2026. Berlangsung di Padang Merdeka, majlis tersebut cukup istimewa kerana Bella berpeluang meraikan hari bahagianya bersama masyarakat di negeri kelahirannya. Untuk kesempatan itu, Bella tampil dalam busana tradisional Kedayan rona hitam dan merah rekaan Ocely. Sentuhan solekan Azni Hadi bersama dandanan rambut oleh May Woo melengkapkan penampilan pengantin yang cukup anggun, sekali gus meraikan keindahan warisan tempatan dalam suasana penuh kemeriahan.

Artikel Berkaitan: 10 Bridal MUA Popular Pilihan Selebriti Dan Pempengaruh


