Rutin kecantikan kini menjadi norma tanpa mengira jantina. Disebabkan itu semakin ramai ikon Hollywood mengeluarkan jenama kecantikan dan penjagaan kulit sendiri.
Tahun-tahun kebelakangan ini menyaksikan selebriti wanita berlumba-lumba memperkenalkan jenama kecantikan mereka. Antara yang popular adalah Fenty Beauty daripada Rihanna, Rare Beauty daripada Selena Gomez dan Kylie Cosmetics daripada Kylie Jenner. Namun kini artis lelaki kelas-A turut mengambil langkah serupa.
Semak barisan selebriti lelaki yang memiliki jenama kecantikan dan penjagaan kulit popular di pasaran
Pleasing, Harry Syles
Pada tahun 2021, Harry Styles memeriahkan industri kecantikan dengan melancarkan Pleasing. Jenama vegan itu bermula dengan beberapa produk termasuk pengilat kuku, serum wajah, juga salap dwifungsi untuk mata dan bibir. Kini ia telah berkembang dengan menawarkan penjagaan kulit, solekan dan pakaian uniseks.
Dengan kerjasama pereka Marco Ribeiro tahun lalu, Pleasing melancarkan kit solekan edisi terhad yang menampilkan palet versatil dengan pilihan suai padan dalam gaya Harry Styles yang sebenar. Walaupun nilai jenama itu tidak didedahkan, Cosmopolitan melaporkan nilai kekayaan pelakon dan penyanyi itu melonjak sebanyak RM89.2 juta sejak pelancaran Pleasing, menjadikannya jumlahnya RM535.3 juta hari ini.
UN/DN Laqr, Machine Gun Kelly
Colson Baker atau lebih dikenali sebagai Machine Gun Kelly (MGK) turut memperkenalkan jenama sendiri pada 2021. Satu-satunya produk UN/DN Laqr, pengilat kuku vegan mendapat sambutan menggalakkan daripada pengguna. MGK memberitahu W Magazine bahawa dia mahu pengguna memberi perhatian kepada butiran halus ketika mencantikkan diri. Tambahnya, wanita adalah inspirasi terbesarnya untuk melancarkan produk ini.
“Wanita memberi perhatian pada perkara-perkara kecil. Saya biasa bertanya kepada anak perempuan, ‘Kenapa bersolek hari ini? Kita bukannya mahu keluar ke mana-mana.’ Dan dia akan menjawab, ‘Saya mahu kelihatan bersiap. Saya lakukan untuk diri sendiri.’ Dan ada pengajaran hebat di sebaliknya kerana lelaki biasanya tidak akan lakukan sesuatu untuk dilihat.
Humanrace, Pharrell Williams
Pemuzik dan pengarah kreatif pakaian lelaki Louis Vuitton, Pharrell Williams melancarkan jenama penjagaan kulit Humanrace pada tahun 2020. Dibangunkan bersama pakar dermatologi NYC, Dr Elena Jones, jenama itu menawarkan produk kecantikan menarik termasuk set rawatan muka tiga langkah amalan Pharrell.
Berharga RM491, ia mengandungi Rice Powder Cleanser, Lotus Enzyme Exfoliator dan Humidifying Cream. Jenama ini popular di kalangan Gen Z di TikTok. Humanrace turut mengeluarkan produk lain seperti tabir suria, penjagaan badan, pakaian sukan dengan kerjasama Adidas serta barangan seramik.
Twentynine Palms, Jared Leto
Pemenang Oscar ini melancarkan jenama kecantikan mewah Twentynine Palms pada 2022, diilhamkan oleh rasa cintanya terhadap Taman Negara Joshua Tree. Koleksi penjagaan kulit, tubuh dan rambut vegan ini menggunakan bahan botani dari padang pasir Mojave antaranya ekstrak buah kaktus, amaranthus dan evening primrose.
Rangkaian sulungnya menampilkan nama-nama unik termasuk serum Mesquite Springs, pelembap wajah Santa Ana Salve dan rawatan pengelupasan kulit Mesa Mystic. Jenama ini juga menawarkan krim tangan, pembersih tangan dan tubuh, serta syampu dan perapi rambut dengan gabungan aroma kayu putih, pudina, rosemary dan sage.
Loved01, John Legend
Melihatkan penampilannya yang sentiasa muda, tidak menghairankan apabila John Legend turut menceburi industri kecantikan pada tahun ini. Rangkaian penjagaan kulit dan tubuh ini dirumus untuk kulit tinggi kandungan melanin dengan pH sedikit berasid untuk mengekalkan lembapan dan mengekalkan rintangan kulit yang sihat.
Ia termasuk produk yang diluluskan oleh pakar dermatologi seperti pencuci muka, pelembap, skrub, penyembur wajah, minyak dan krim pencukur. Loved01 popular di kalangan pengguna kerana harganya yang amat berpatutan, tidak melebihi RM67.
S’Able Labs, Idris Elba
Pada 2022, Idris Elba dan isterinya, Sabrina melancarkan jenama penjagaan kulit S’Able Labs (‘Elba’ dieja secara terbalik). Pasangan itu membangunkan barisan penjagaan kulit uniseks yang terdiri daripada pembersih, penyegar dan pelembap.
Kebanyakan sumber bahan jenama ini datangnya dari Afrika termasuk pokok baobab dan daun qasil. Seperti yang tertulis di laman web, syarikat itu berjanji untuk menderma lima peratus daripada keuntungan jualan produk bagi menyokong organisasi Farm Africa, dengan derma minimum sebanyak RM80,000 setahun.
Le Domaine, Brad Pitt
Walaupun jenama penjagaan kulit Brad Pitt ini meraih sambutan pada awal pelancaran, ia menerima kecaman selepas beberapa bulan kerana terlalu mahal. Salah satu produknya, serum anggur dijual pada harga RM1,717. Ketulenan dan keberkesanannya juga dipersoal kerana Brad Pitt tidak pernah bercakap mengenai rutin penjagaan kulitnya sebelum ini.
Le Domaine dilancarkan 2022 dengan kerjasama pengusaha ladang anggur, keluarga Perrin. Bahan-bahannya diambil dari Chateau Miraval, ladang anggur yang dibeli Brad Pitt untuk bekas isterinya, Angelina Jolie pada 2012. Jenama uniseks ini terdiri daripada empat produk utama iaitu The Serum, The Cream, The Cleansing Emulsion dan The Fluid Cream.