Solekan tidak lekat, mudah pudar selepas dua ke tiga jam dan solekan mudah nampak bertompok-tompok, antara rungutan mereka yang punya masalah kulit berminyak.
Saya tidak pasti mana yang lebih ‘menyeksakan’, mempunyai masalah kulit kering atau berminyak? Kulit kering menyebabkan wajah lekas nampak tua. Kulit berminyak pula menambah risiko kulit mudah berhadapan dengan masalah jerawat.
Tapi ramai yang kata wajah berminyak lebih ‘meresahkan’, bila bersolek, solekan tidak tahan lama. Mudah tampak bertompok. Jadi, untuk anda yang berhadapan dengan isu ini, EH! bariskan tujuh langkah yang membuatkan solekan anda tahan lebih lama.
1. Pilih Pembersih Yang Tepat
Sebahagian wanita yang mempunyai masalah kulit berminyak berpendapat kulit berminyak dapat ‘dikeringkan’ dengan mencuci wajah mereka dengan kerap. Pendapat sedemikian salah kerana makin kerap wajah dibersihkan, maka makin berminyak kulit kerana sel kulit seakan mendapat isyarat yang kulit mereka kering dan perlukan minyak untuk melembapkannya. Paling penting ialah memilih pencuci yang bertekstur ringan, tidak terlalu berasid dan paling penting yang tidak membuat kulit berasa tegang selepas dicuci.
2. Lupakan Toner
Bagi yang mempunyai kondisi kulit berminyak seeloknya lupakan langkah menggunakan toner (penyegar), lebih-lebih lagi toner yang mengandungi alkohol. Anda boleh gantikan penyegar dengan semburan muka (mist) selepas wajah sempurna dicuci. Atau boleh terus dengan menyapu serum.
3. Guna Dua Jenis Pelembap
Sapu pelembap yang lebih ringan (khusus untuk kulit berminyak) pada bahagian wajah yang mudah berminyak seperti dahi dan hidung. Kemudian sapukan pelembap yang lebih berat teksturnya pada bahagian pipi, rahang dan dagu. Kedua-dua jenis pelembap ini akan bekerja mengikut kesesuaian kondisi kulit.
4. Usah Lupa Primer
Jika anda mahu bersolek, usah lupa primer. Primer membuatkan solekan kekal lebih lama. Utamakan sapuan pada bahagian wajah yang mudah berminyak, zon-T misalnya.
5. Bedak Asas Pusam
Pilih bedak asas yang bertekstur pusam. Usah pilih yang berlabelkan ‘Glow’, ‘Shine’ dan apa sahaja perkataan yang sewaktu dengannya.
6. Usah Lupa Bedak
Bagi yang mempunyai kondisi kulit berminyak MESTI layangkan bedak tabur untuk mengunci solekan. Sapukan pada keseluruhan wajah menggunakan berus.
7. Sediakan Bedak Translucent
Selepas tiga atau empat jam, usah lupa kemaskan solekan. Semburkan mist untuk menyegarkan wajah. Jika perlu layangkan sedikit bedak pada bahagian berminyak. Tapi awas, pastikan wajah bebas peluh sebelum anda menambah alat solek seperti bedak atau pemerah pipi.