Neelofa, Nabila Huda, Datin Alyah dan Stacy antara wajah-wajah yang sering mendapatkan sentuhan magis Bosco Ryzal. Dia antara jurusolek selebriti yang cukup terkenal dengan solekan bold dan daring. Dia juga sering menjadi pilihan penyanyi yang ingin tampil berbeza terutamanya untuk persembahan di atas pentas berskala besar. Penulis Kanan Kecantikan EH!, Azliany menemubual jurusolek yang sinonim dengan gaya kaca mata eksentrik ini.
Apa yang membuatkan Bosco tertarik untuk menjadikan dunia solekan sebagai satu kerjaya?
Arwah ibu saya adalah seorang mak andam jadi saya sering mengikut dan menjadi pembantunya setiap kali merias pengantin. Saya akan membantu untuk menggulung rambut dan beberapa tugas lain. Kehidupan saya sewaktu kecil juga dikelilingi oleh ramai sepupu perempuan oleh kerana itu dari kecil saya sudah terdedah dengan dunia kecantikan khususnya solekan. Saya suka melihat wanita berias cantik dari situ timbul minat untuk menjadikan bidang solekan sebagai kerjaya.
Jika bukan jurusolek, apakah profesion yang mungkin Bosco ceburi?
Saya gemar memasak. Pada siapa yang setia mengikuti saya di Instagram mesti tahu saya suka memasak dan jika ada kelapangan saya akan berkongsi resipi di Instagram.
View this post on Instagram
ALYAH #beautifiedbybosco using @armanibeauty #armanibeauty donning @zaimizulkafli
Siapakah idola anda sejak kecil?
Bila bicara berkaitan idola semestinya arwah Ibu saya. Saya banyak belajar dengannya tentang dunia solekan dan andaman.
Apakah pengalaman manis yang paling diingati sepanjang kerjaya?
Berpeluang menghadiri minggu fesyen New York bersama Neelofa. Semestinya bila dapat menyolek wajah selebriti yang kita minat atau terkenal . Paling manis bila saya berpeluang untuk menyolek wajah isteri kepada Tuanku Mahkota Johor, YM Che’ Puan Khaleeda Binti Bustamam semasa majlis perkahwinannya.
Siapakah selebriti pertama yang anda solekkan?
Saya menceburi bidang solekan pada tahun 1999. Sudah lebih 20 tahun saya dalam bidang ini. Selebriti pertama yang saya solek ialah Azza dari kumpulan Elite.
Apakah tip solekan yang paling berguna anda pernah terima?
Tip dari ibu saya. Ibu saya akan menggunting anak rambut (sideburn) bakal pengantin kemudian ibu akan membaca doa untuk menaikkan seri pengantin. Tetapi saya tidak pernah mencubanya. Ibu hanya memberitahu tentang tip tersebut dan saya hanya memerhatikan ibu melakukannya.
View this post on Instagram
HUDA YAMASAKI #beautifiedbybosco using @bobbibrown #bobbibrownmy #bobbibrown
Apakah nasihat untuk jurusolek baru?
Disiplin dan hasil kerja kena seiring dengan tingkah laku. Sentiasa rajin belajar kerana ilmu itu banyak dan susah untuk diperolehi. Dan paling penting jangan berangan!