Pada tahun 1953 lahirlah Rouge Dior, alat solek pertama yang Dior hasilkan. Asal ideanya adalah untuk melengkapkan gaun-gaun yang Christian Dior ciptakan buat pelanggan setianya, lirikan senyuman pastinya lebih menawan dengan bibir berwarna.
Kempen Rouge Dior yang baharu tampil menarik dengan kemunculan empat jelitawan, Aktres Anya Taylor-Joy, Dilraba Dilmurat, Rachel Zegler dan Yara Shahidi. Keempat-empatnya tampil dalam balutan gaun merah menyala membuatkan penampilan mereka cukup memukau setanding dengan dengan kelas gincu ini sendiri.
Kata Peter Philips, pengarah kreatif dan imej Dior Makeup, merenovasi sebuah koleksi gincu yang sudah masyhur adalah satu tugasa nan amat mencabar. Ya, masakan ada lagi cacat cela yang mahu dibaiki pada sebatang gincu yang sudah menjadi pilihan ramai wanita seluruh dunia. Dan dari masa ke semasa, ROuge Dior memang saja menjalani perubahan demi mengoptimumkan kehebatannya.
“Bagaimana kita boleh mengubah satu produk yang sudah begitu hebat? Tapi kami berjaya melakukannya menerusi formula baharu, pemilihan bahan, warna dan ‘savoir faire’ (dalam bahasa kita maksudnya mampu melakukan apa saja). Rouge Dior yang baharu siap sedia untuk kekal bertakhta di carta gincu,” kata Peter Philips.
FORMULA BAHARU ROUGE DIOR
Apa istimewanya Rouge Dior yang baharu ini sampaikan Peter Philips yakin ia akan terus menjadi kesukaan ramai? Kelebihannya terletak pada inovasi terkininya, disempurnakan dengan bunga peoni merah yang unik, kombinasi bahan bungaan aktif untuk menyajikan keselesaan yang maksimum serta hasil calitan yang memukau.
Ekstrak peoni membuat bibir nampak mungil dan lebih tebal, dan menurut pemerhatian Dior efek ini boleh bertahan hampir 12 jam. Bagi anda yang memilih kemasan baldu, bibir rasa lebih licin lembap selama lapan jam.
Ekstrak bunga pir pula membuat bibir lebih hidrat. Manakala ekstrak bunga raya membuatkan bibir sangat selesa.
Tawaran warna dari himpunan yang baharu ini juga tambah variasi, Dior sebaiknya mahu memenuhi kehendak wanita seantero dunia yang mahukan warna-warna yang berbeza. Dari segi kemasannya pula ia hadir dengan dua pilihan satin dan baldu.
Jika mahu bibir yang nampak lembap-lembap pilihan satin adalah yang paling tepat. Tapi jika mahu bibir yang nampak seksi dengan calitan mewah, saya sarankan kemasan baldu. Dan seperti koleksi yang dulu, gincu Rouge Dior masih diteruskan dalam bungkusan yang boleh diisi semula.
WARNA IKONIK
Ada empat warna yang sudah ditetapkan sebagai ikon ROuge Dior. Pilihan ini berdasarkan sejarahnya sepanjang mewarnai bibir wanita seluruh dunia. Dan saya percaya sekurangnya ada satu yang menjadi pujaan anda.
999, (Satin dan Velvet)
Angka sembilan itu sendiri adalah kesukaan Christian Dior. Baginya itu adalah nombor bertuah. Gincu kod 999 ini memang ikonik, warna merahnya memang nampak mewah, sesuai dengan semua ton kulit.
100 Nude Look (Satin dan Velvet)
Penggemar gincu nude pasti sudah tahu betapa cantiknya warna ini. Salutan ton natural yang disukai. Jika anda tak kenal lagi warna ini, cepat-cepat ke butik Dior untuk cuba.
720 Icone (Satin dan Velvet)
Warna merah yang tidak menjerit, dalam ton rosewood yang juga merupakan warna kegemaran Christian Dior sendiri. Senang cerita warnanya adunan merah samar dengan coklat.
777 Fahrenheit (Velvet)
Calitan warna berira merah-jingga yang menyuntik gaya riasan yang segar sekelip mata. Pilihan warna buat anda yang mahu lari dari kebiasaan.
Himpunan terbaru Rouge Dior sudah berada di pasaran, anda boleh dapatkan informasi dan juga beli di pautan ini selain pergi terus ke butik kecantikan Dior. Harga RM190 sebatang.