Selain bedak dan gincu, saya rasa yang selalu dibeli perempuan tentunya maskara. Maskara itu saya anggap sebagai booster yang bila memakainya boleh membuatkan wajah lebih segar dengan segera. Antara selebriti yang saya tahu gila maskara ialah Sazzy Falak dan Sherry Ibrahim. Mereka berdua ini memang obses maskara, dan kedua-duanya bila disolekkan jurusolek mereka suka memakai maskara sendiri. Kali ini saya bariskan sembilan maskara terbaik, terlaris, disukai jurusolek dan digemari selebriti.
1- Too Faced Better Than Sex Mascara– Cubalah tanya mana-mana wanita yang sudah mencuba maskara ini, percayalah mereka akan sarankan anda memilikinya sebatang. Hanya dua kali sapuan bulu mata tampak lebih tebal bagaikan memakai bulu mata palsu.
2- Lancome Hypnose Doll Lashes Mascara– Menurut jurusolek terkenal Khir Khalid dan Sheng Saw, maskara ini sangat bagus. Ia membuat bulu mata melentik. Dan saya sendiri pernah melihat Sheng menggunakan maskara ini saat dia menyolek Mira Filzah, betul-betul lentik. Saya juga ada terbaca, Khloe Kardashian juga gilakan maskara ini.
3- Benefit The’re Real Mascara– Ini antara produk ikonik Benefit. Sudah hamper menjangkau satu dekad usianya dan hingga kini ia kekal menjadi antara produk paling laris di Benefit. Selain memang bagus melentikkan bulu mata ,warnanya yang hitam pekat juga menjadi fackor mengapa ia disukai. Cubalah sendiri.
4- Marc Jacobs Beauty Velvet Noir Mascara– Khabarnya ini antara maskara kegemaran jurusolek Adele, Michael Ashton. Maskara ini melentik dan mencipta volum pada bulu mata, warnanya juga betul-betul hitam pekat. Memang puas!
5- Chanel le Volume de Chanel Mascara– Ini juga salah satu maskara yang hitam legam warnanya. Kalau anda suka bulu mata hitam pekat seperti wanita Arab, inilah yang patut anda beli. Dua kali sapuan sudah memadai.
8 Cara Yang Betul Memakai Maskara
6- Maybelline Lash Sensational Mascara– Kalau mahu mencari maskara yang bagus dan harganya mesra poket, inilah dia. Maybelline memang terkenal dengan rangkaian maskaranya, dan yang ini sesuai untuk anda yang sukakan efek bulu mata macam anak patung, yang dakwatnya tidak bergumpal. Berusnya dicipta khusus untuk memastikan setiap sapuan meliputi setiap bulu mata.
7- Dior Diorshow Pump ‘N’ Volume HD Mascara– Kalau Peter Philips sukakan maskara ini, saya pun akan suka. Mengapa? Sebab dia antara jurusolek kegemaran saya. Maskara yang paling popular di kaunter Dior ini membuatkan bulu mata lebat dan lentik dari bulu mata asal, bagaikan bulu mata palsu. Bekasnya pula unik, diperbuat daripada getah, boleh dipicit-picit.
8- Nars Climax Extreme Mascara– Ini edisi yang baharu selepas Nars melancarkan Nars Climax (warna merah) dua tahun lalu. Ia mencipta volum tapi dakwatnya tidak berketul-ketul. Pam sekali sudah memadai, tak perlu digodek-godek. Jurusolek Emmy Agung sukakan maskara ini.
9- Giorgio Armani Beauty Eyes To Kill– Saya suka melihat Instagram Mary Phillips, dia jurusolek kegemaran Jennifer Lopez, dan saya sudah beberapa kali terlihat maskara ini di meja soleknya. Jadi ini mungkinlah salah satu rahsia bulu mata Jlo yang volum dan panjang melentik.