Nadia Brian meraikan ulang tahun ke-30 hujung bulan lalu. EH! sempat menghubunginya dan berbual tentang rutin kecantikan dan kesihatannya. Ini sembilan hal cantik sempat kami tanyakan.
Apakah produk kecantikan terakhir yang Nadia beli?
Sunscreen dari label Supergood. Sangat bagus dan ia antara tinted sunscreen yang paling bagus yang saya pernah cuba.
Apakah rutin kecantikan Nadia?
Sama macam orang lain saya cuci, gunakan penyegar dan pelembap. Untuk cucian wajah saya buat double-cleansing, iaitu pertama untuk membersihkan mekap dan kedua untuk membersihkan wajah secara total. Sebulan sekali saya akan ke pusat kecantikan untuk buat rawatan wajah.
Apa pula senaman pilihan Nadia?
Saya suka bersenam di rumah sahaja. Biasanya saya akan gunakan booty band sebagai alat untuk menyokong aktiviti senaman saya. Saya akan lakukan senama mengikut apa yang saya tonton di YouTube. Bersenam tak semestinya perlu ke gim, dan kita sendiri kena jujur dengan diri sendiri, sama ada kita nak bersenam betul-betul atau sekadar nak ambil gambar kemudian muat naik di Instagram.
Apakah haruman kesukaan Nadia?
Dari dulu lagi saya menggemari Lancome Tresor Midnight Rose, baunya sungguh feminin. Saya pula memang sukakan minyak wangi yang berunsurkan bunga-bungaan.
Jika ada haruman sendiri, apakah nama akan diberikan?
New Bie, membawa maksud haruman baru dan juga boleh jadi seperti pangkal nama saya. Baunya pula mestilah sarat bunga-bungaan dan mungkin ada sedikit unsur kayu-kayan untuk bagi sedikit misteri.
Siapa ikon cantik yang menjadi pilihan Nadia Brian?
Saya suka melihat Kylie Jenner, bagi saya dia sangat relevan dengan generasi hari Ini. Solekan wajahnya juga sangat menarik.
Pada usia berapa mula membeli produk kecantikan sendiri?
Saya bermula awal, pada usia 15 tahun. Saya belajar di Sekolah Teknik Kuala Kangsar dalam bidang kecantikan jadi hal-hal berkaitan penjagaan kulit dan bersolek ini sudah saya pelajari seawal di bangku sekolah. Kita belajar dan cuba dari satu produk ke satu produk yang lain.
Apakah aktiviti yang boleh membuat Nadia berasa tenang?
Saya suka memandu ke mana-mana sambil mendengar lagu. Bagi saya aktiviti sebegini buat saya relaks. Biasanya saya suka mendengar lagu-lagu Lana Del Rey, kadang-kadang lagu Tan Sri P. Ramlee pun seronok didengar bila saya bersendirian di dalam kereta.
Siapakah selebriti Malaysia yang cantik dimata Nadia Brian?
Dari dulu saya suka melihat Datuk Sri Siti Nurhaliza, dia sangat ayu dan dia memang ada aura positif. Dia kurus ke, berisi ke, mengandung ke, dia tetap nampak cantik. Ramai lagi yang saya suka tengok misalnya Datuk Sheila Majid, Rita Rudaini dan Erra Fazira. Masing-masing ada kecantikan tersendiri.