Anugerah Bintang Popular (ABPBH) berlangsung buat kali ke-35 dengan meriahnya Jumaat lalu. Dan ini 10 gaya solekan pilihan EH! di acara tahunan yang pemenangnya ditentukan menerusi undian oleh pembaca Berita Harian dan peminat dunia hiburan.
JANNA NICK
Pengantin baru ini mendapat sentuhan jurusolek Sharhim Khan, yang mana Sharhim sendiri sudah lazim merias wajah Janna Nick. Baru saja beberapa bulan lepas berguru dengan jurusolek Thailand, sentuhan gaya solekan ‘Siam’ boleh dilihat pada solekan ini menerusi pemilihan warna namun Sharhim cuba menambah glamor dengan memakai bulu mata palsu yang lebih tebal dan lebat berbanding gaya lazim solekan Thai. Dandanannya disempurnakan oleh Miedy Daniel dan Janna tampil elegan dalam balutan gaun kembang Teh Firdaus.