Minggu Paris Haute Couture Week Fall/Winter 2026 yang berlangsung dari 6 hingga 9 Julai 2026 menyaksikan beberapa debut besar termasuk koleksi couture kedua oleh Jonathan Anderson di Dior dan Matthieu Blazy di Chanel. Dari sudut kecantikan, musim ini memperlihatkan peralihan daripada solekan “clean girl” kepada penampilan yang lebih artistik tetapi masih wearable.
Setiap musim, jurusolek dan pendandan rambut terkemuka berganding bahu dengan rumah fesyen bagi menghasilkan beauty look yang melengkapkan visi kreatif sesuatu koleksi. Apa yang dipersembahkan di runway hari ini sering menjadi inspirasi kepada trend solekan, gaya rambut dan kecantikan yang akhirnya diterjemahkan ke dalam dunia sebenar.
Bagi musim Haute Couture Fall/Winter 2026, pentas Paris memperlihatkan pelbagai interpretasi kecantikan yang lebih berani, artistik dan penuh karakter, namun masih mengekalkan elemen yang mudah disesuaikan untuk peminat beauty. Daripada permainan warna yang dramatik, tekstur rambut yang eksperimental hinggalah kemasan kulit yang lebih segar, berikut antara beauty look paling mencuri perhatian dari pentas Haute Couture Fall/Winter 2026 yang mencuri perhatian EH!.
Berikut merupakan lima beauty look yang paling mencuri perhatian EH! sepanjang Paris Haute Couture Fall/Winter 2026.
1. Pembayang Mata Hijau Dior
Debut couture kedua Jonathan Anderson di Dior bukan sahaja menerima pujian menerusi rekaan yang segar, malah turut mencuri perhatian menerusi solekan hasil sentuhan Peter Philips, Creative and Image Director for Dior Makeup. Fokus utama diberikan kepada pembayang mata dalam rona hijau metalik sebagai elemen utama. Daripada rona chartreuse, sage green dan hijau keemasan, setiap sapuan memberikan dimensi yang segar. Solekan mata dramatik ini diseimbangkan dengan blush rona pic lembut serta bibir merah jambu berkilat.
2. Chanel Statement Eyes
Penampilan sulung Matthieu Blazy di Chanel turut membawa nafas baharu kepada identiti kecantikan rumah fesyen itu tanpa meninggalkan DNA klasiknya. Kulit diberikan kemasan satin yang sihat dan bercahaya, manakala rona pipi yang lembut mencipta efek wajah yang segar. Tumpuan utama terarah kepada mata menerusi permainan pembayang mata dan definisi yang lebih jelas tetapi masih lembut, menghasilkan statement eyes yang sofistikated tanpa kelihatan terlalu dramatik Dipadankan dengan bibir rona nude atau soft pink serta kening yang dikekalkan natural.
3. Gaya Rambut Futuristik Iris Van Herpen
Apabila menyebut Iris Van Herpen, elemen futuristik dan inovasi sentiasa menjadi sebahagian daripada identiti jenama tersebut. Seiring dengan koleksi couture yang terkenal dengan siluet futuristik dan inovatif, beauty look musim ini turut memberi fokus kepada gaya rambut yang kelihatan hampir seperti arca bergerak. Tekstur rambut dibentuk dengan permainan struktur, lengkungan dan efek terapung yang mencipta ilusi seolah-olah sebahagian daripada busana itu sendiri. Solekan pula dikekalkan minimal dengan kemasan kulit yang luminous agar keseluruhan perhatian tertumpu kepada elemen artistik pada rambut.
4. Sentuhan Bibir Metalik Rahul Mishra
Rahul Mishra terkenal dengan rekaan couture yang kaya dengan perincian, tekstur dan inspirasi daripada alam semula jadi. Pendekatan kecantikan yang melengkapi estetikanya pula membawa elemen moden dengan sentuhan futuristik. Kemasan metalik menjadi inspirasi menarik kerana ia memberikan dimensi baharu kepada solekan klasik. Sama ada melalui kilauan pada bibir, mata atau keseluruhan wajah, tekstur berkilau mampu mencipta efek mewah tanpa memerlukan warna yang terlalu terang.
Artikel Berkaitan: 7 Sebab Mengapa Setting Spray Urban Decay Menjadi Kegilaan Ramai








