Beauty tools bukan sekadar perhiasan meja solek tapi bukan juga magik segera. Untuk dapatkan hasil, anda perlukan konsistensi dan teknik yang betul. Jadi sebelum membeli, tanya diri adakah anda akan guna alat ni atau sekadar untuk cantik di Instagram dan match dengan aesthetic rak anda!
Face roller, gua sha, berus pembersih wajah elektrik, LED mask, dan pelbagai lagi alatan kecantikan kini bukan hanya berada di salon atau spa semuanya mudah sampai di meja solek anda. Tetapi persoalannya adakah beauty tools ini benar-benar memberi kesan pada kulit atau sekadar nampak cantik untuk difoto dan dijadikan hiasan di rak atau bilik? Dengan lambakan alatan kecantikan di pasaran, EH! membongkar apa yang benar-benar berfungsi dan apa yang mungkin hanya hype sementara.
1. Face Roller
Face roller boleh membantu mengurangkan bengkak terutama jika disimpan dalam peti sejuk dan memberi efek relaks pada wajah. Namun, kesannya sementara dan tidak menggantikan penjagaan kulit asas. Ia lebih sesuai dijadikan alat bantu urutan dan sebagai sebahagian daripada rutin self-care.
2. Gua Sha
Dengan teknik yang betul dan penggunaan konsisten, gua sha memang boleh membantu melancarkan aliran limfa dan menampakkan kontur wajah. Tapi, ia perlukan kesabaran dan teknik yang betul. Asalkan tidak terlalu kuat hingga merosakkan kapilari.
3. Berus Pembersih Wajah Elektrik
Memang benar alat ini dapat menanggalkan kotoran dengan lebih efisien terutama jika anda pakai mekap tebal setiap hari. Tapi, elak guna terlalu kerap atau kasar kerana ia boleh merengsakan kulit, terutamanya kulit sensitif atau berjerawat.
4. Facial Steamer
Penggunaan wap muka atau facial steamer boleh membantu melembutkan kotoran dan membuka pori, menjadikan pembersihan lebih efektif. Tapi, ia tak sesuai untuk kulit sensitif atau rosacea kerana suhu wap boleh jadi terlalu panas dan merengsakan.
5. LED Mask
Teknologi LED memang terbukti secara klinikal dalam rawatan kulit tetapi keberkesanan bergantung kepada jenis cahaya, konsistensi pemakaian, dan kualiti alat. LED mask murah mungkin tidak memberi kesan yang sama seperti rawatan di klinik estetik.
Artikel Berkaitan: Jurusolek Selebriti, KF Bong Berkongsi 9 Produk Kesukaannya Ketika Ini