Bukan acah-acah bila bedak asas Dior ini dinamakan Forever kerana daya tahannya seolah ia mampu kekal selamanya pada wajah seperti lapisan kulit kedua! Inilah Dior Forever, bedak asas dengan kemasan pusam yang bertahan 24 jam sempurna tanpa luntur. Mampu bertahan daripada cuaca panas, kelembapan, tekanan, tanda-tanda kelesuan, Forever mampu hadapi segalanya! Dan kini ia diperbaharui dengan sentuhan sensorial seolah ia benar-benar kulit anda. Selesa, halus, membolehkan kulit bernafas dan tampak sempurna pada waktu yang sama.
Tidak tersasar rasanya bila kami katakan apa yang diharapkan daripada bedak asas selain litupan yang tampak sempurna dan pemakaian yang selesa, ia juga harus bertahan tanpa berubah rupa atau warna dan yang paling penting kita tidak mahu kelihatan seperti berbedak. Ia harus kelihatan seperti kulit yang sempurna semula jadi. Mujurlah anda boleh minta semua ini dengan Dior Forever. Generasi terbaru bedak asas ini memastikan solekan yang lebih halus sekata sambal menutupi cela dengan tekstur kulit yang amat mulus, serta keselesaan berpanjangan.
Dirumuskan dengan 86 peratus inti pati penjagaan kulit berasaskan flora, ia dikira sebagai produk penjagaan kulit. Ini kerana solekan hanya mampu kelihatan cantik sempurna apabila kulit cukup penghidratan dan sihat. Ekstrak flora dipertingkatkan dua kali ganda untuk Dior Forever baru ini dengan iris sebagai bahan utamanya. Ekstrak bunga iris bertindak sebagai pengantara keradangan dan melengkapi tindakan perlindungan penapis UV. Ia juga diperkaya dengan ekstrak Rose Hip untuk melicinkan penampilan liang pori agar tekstur kulit kelihatan mulus.
Anda punya pilihan 43 warna kulit yang pasti dapat disepadankan dengan apa jua ton kulit anda. Pigmen mineral berasaskan tumbuhan memastikan sebaran pigmen yang lebih baik, melekap pada kulit dengan sempurna dan menjanjikan kemasan yang tidak berubah warnanya sehingga 24 jam. Dior Forever, bedak asas yang akan terus diraikan!