EH! ke Singapura untuk bertemu sekali lagi dengan pereka haruman Chanel, Olivier Polge. Saya secara peribadinya teruja dengan kunjungan bersama Chanel kali ini kerana saya tahu Olivier Polge akan berkongsi lebih banyak kisah menarik tentang haruman di Chanel. Mewarisi skil hebat dari ayahandanya, Jacques Polge yang juga pernah duduk di kerusi yang sama, Olivier sangat tenang bersulam teruja bila berbicara tentang haruman.
‘The Conversation with Olivier Polge’ dilangsungkan di 7 Adam Park, dihadiri teman media dari rantau Asia Tenggara dan juga pempengaruh dunia kecantikan. Eyka Farhana, Lee Ming dan Oskar Lee mengiringi kembara saya ke sana, sama-sama mengamati tiap butir bicara Olivier tentang kisah di sebalik haruman di Chanel.
Olivier Polge adalah individu yang bertanggungjawab mencipta N°5 L’Eau, edisi haruman ikonik Chanel N°5 dalam versi yang lebih ringan, santai, elegan, dinamik dan dalam masa yang sama mengekalkan identiti haruman itu sendiri.
Haruman terbaru yang dicipta oleh Olivier Polge ialah Comète. Sebuah wangian kulit mencipta sensasi yang unik dan hampir intim apabila dipakai. Dari masa ke masa, kulit bagai memberi nadi menghidupkan minyak wangi, dan ia bagai berubah-ubah bergantung pada siapa yang memakainya.
“Dengan ciptaan ini, saya ingin meneroka identiti baharu untuk Les Exclusifs De Chanel dan membayangkan sesuatu yang menyelubungi dan bercahaya. Comète tidak dibina dengan nota serbuk yang jelas seperti vanila atau kacang tonka. Heliotrope accord, digabungkan dengan iris, meneroka aspek ‘cumbuan’ yang luar biasa dengan lebih banyak nuansa badam dan buah-buahan. Inilah yang membuatkan Comète menonjol daripada wangian Les Exclusifs De Chanel yang lain. Terdapat kekayaan dan kerumitan padanya yang menyelubungi kulit dan berbeza tindak balas pada setiap orang,” kata Olivier yang turut berkongsi ilhamnya tercetus dari koleksi perhiasan mewah Chanel sendiri.
Menurut Olivier, mencipta haruman Chanel memang memakan masa kerana baginya ‘bekerja’ dengan bahan-bahan semula jadi tidak boleh terburu-buru. “Apa yang anda perlu sedar ialah, pada penghujung hari, saya mencipta bau yang anda akan mahu hidup bersamanya setiap hari. Jadi saya perlu melalui pengalaman ini sendiri. Itu mengambil banyak masa. Kadang-kadang, saya perlu beberapa minggu untuk menyedari, ‘Oh, minyak wangi ini telah digunakan dengan betul.’
“Apabila kita bekerja dengan banyak bahan mentah semula jadi, anda perlu menunggu waktu terbaik untuk menggabungkan formula baru, kadang-kadang, dua hari kemudian, bau minyak wangi adalah berbeza, formulanyaagak kompleks.”
Menariknya lagi, Olivier juga bercerita yang dia tidak mengenakan apa-apa haruman apabila pergi bekerja. Dan inilah yang dipraktikan sejak dulu lagi kerana baginya mencipta haruman perlu melalui banyak prosesnya. “Apabila saya mencipta bau yang baru, baunya ini mesti berbau seperti bau Chanel. Cabarannya lagi ialah untuk mencipta bau yang baru, lain dari yang ada tetapi masih mengekalkan identiti Chanel.
IKONIK CHANEL N°5
Di acara yang sama, kami juga dibawa mengenal lebih dekat haruman agung N°5. Lebih menarik kami juga diberi peluang mencium sendiri bau asal haruman ini yang mana masih dijual dalam botol-botol kecil.
Haruman ini dicipta oleh pakar haruman Ernest Beaux selepas Coco Chanel terfikir untuk mempunyai haruman sendiri bagi rumah fesyennya. Idea ini tercetus sewaktu Coco berbual-bual dengan temannya di Monte Carlo. Coco mahukan haruman yang melambangkan stail juga personalitinya.
Mengapa Nombor 5? Ernest mempersembahkan banyak sampel Haruman kepada Coco Chanel, dan dalam banyak-banyak sampel itu Coco memilih sampel nombor lima. Maka dari situlah tercetusnya nama Chanel N°5.
Jika diperhatikan pada penutup haruman ini, potongan dan bentuknya seperti berlian tapi sebenarnya ia adalah diinspirasikan daripada pandangan dari atas Place Vendome, lokasi ikonik di Paris. Di situ jugalah terletaknya Ritz Paris, tempat tinggal Coco Chanel.
Mendengar bicara Olivier tentang pengalamannya di Chanel membuatkan saya menghargai tiap haruman kerana setiap satunya memerlukan masa dalam pembikinan, prosesnya rumit dan kompleks. Lee Ming turut sependapat dengan saya. “Olivier mengaitkan haruman dengan memori silam benar-benar membuat saya terkait dan itu yang membuatkan saya lebih menghargai minyak wangi,” ujarnya.