Gambar: Arkib EH!
Dia bukanlah nama baru dalam industri hiburan tanah air. Intan sudah lama mengorak langkah sebagai pelakon. Justeru, penampilan adalah aset penting yang perlu dijaga sementelah pendedahan secara berterusan kepada matahari, jadual kerja yang panjang serta toksin membuatkan keadaan badan menjadi tidak semenggah dulu.
• Apa rejim cucian wajah anda?
Pertama sekali, penting untuk menggunakan penanggal solekan kerana setiap hari pasti akan ada secalit solekan di wajah, walau senipis mana bedak asas. Kemudian, saya gunakan pencuci dan urut perlahan wajah agar peredaran darah bergerak seimbang. Saya gunakan toner dan kemudian pelembap wajah. Akhir sekali, item paling wajib adalah krim pelindung tabir suria.
• Rahsia kecantikan yang boleh dikongsi bersama
Air adalah ‘senjata’ rahsia utama semua orang, tidak kira lelaki mahupun wanita. Penting untuk manusia kekal hidrasi, dan saya sentiasa pastikan minum air dengan kadar yang banyak. Selain itu, saya tidak ketinggalan untuk menggunakan krim pelindung tabir suria sebelum keluar rumah. Jangan terdedah terlalu lama di bawah sinar matahari, terutamanya dari jam 10 pagi sehingga 4 petang.
• Bagaimana dengan amalan untuk menjaga kesihatan.
Jika ada masa, saya akan bersenam. Maklumlah, bekerja sebagai pelakon menuntut masa saya kadang sehingga 30 jam di set penggambaran. Paling tidak pun, saya akan melakukan senaman ringan dan aktiviti berjalan menyihatkan saya. Saya juga menitik beratkan perihal diet harian dan makan makanan berkhasiat. Untuk mendapatkan tenaga, saya amalkan makanan tambahan vitamin.
• Solekan setiap hari anda?
Saya lebih suka penampilan yang sederhana dan item solekan yang wajib digunakan adalah salap bibir berwarna untuk impak semula jadi.