Gambar: Instagram Rozita Che Wan
Jika disebut namanya tidak sah andai tidak mengaitkannya dengan bulu mata palsu. Itu sudah dikira signature gayanya. Hendak pula sekarang ini sudah mempunyai tiga orang anak, tetapi personaliti jelita ini masih anggun menawan.
EH! secara eksklusif menemu bual Rozita Che Wan tentang rutin cantik yang menjadi amalannya.
Rahsia anda untuk kekal tampak muda?
Sentiasa menghargai kecantikan dan jangan pernah dengki pada kecantikan orang, ia akan terserlah pada wajah.
Apakah kosmetik atau alat solek wajib setiap kali bersolek?
Bulu mata palsu, bedak dan gincu. Kalau tidak bersolek saya kenakan gincu saja.
Boleh kongsikan tip anda menjaga rambut?
Mungkin ada sebarang petua tradisi? Kalau mahu elakkan rambut beruban, mandi badan terlebih dahulu, biar badan terasa sejuk kemudian baru basahkan kepala.
Anda mengamalkan sebarang diet?
Tidak. Saya makan seperti biasa. Apabila berat badan mulai naik, saya akan kurangkan. Contoh seperti makan nasi tiga kali sehari saya akan kurangkan mungkin sekali atau dua kali sahaja. Namun ketika mengandung saya makan nasi lima kali sehari!
Anda mengamalkan sebarang amalan tertentu dalam mendapatkan bentuk badan yang lebih langsing seperti pemakaian bengkung atau girdle?
Tidak, saya amalkan sit ups untuk perut kekal kempis.
Bagaimana anda berpantang untuk mengekalkan tubuh badan cantik?
Dahulu sewaktu berpantang mak saya memang betul-betul jaga. Dia akan pastikan kipas dan penyaman udara tidak dipasang jadi suasana bilik seperti sauna. Kemudian saya akan minum jus prun, bertungku dua kali sehari. Makan ikan masin, hati
masak lada hitam, ikan bilis dan buah epal.
Kongsikan rejim penjagaan kulit wajah anda setiap hari?
Siang saya amalkan penjagaan asas seperti mencuci, menyegar, serum dan krim siang. Malam pula cukup sekadar mencuci, serum dan krim malam. Jika rajin saya akan memakai peel off mask.
Cara atau petua tradisi menjaga kulit yang pernah dicuba dan anda rasakan ia berkesan?
Lepas cuci wajah, lap wajah dengan tisu bukan dengan kain. Kemudian saya selalu letakkan kuning telur pada kapas dan tekap pada wajah sebagai pupur.