Gambar: INGimage
Solekan semestinya punya hasil yang berbeza dan ianya juga ada tempat dan masa berbeza yang memainkan peranan dalam penyesuaian solekan tersebut. Adanya solekan gelap pada mata tidak sesuai untuk digunakan kala ke pejabat dan adanya tidak sesuai pula solekan yang tampak edgy kala ke majlis kesyukuran.
Jadi, EH! kongsikan kepada anda do’s & don’ts solekan yang perlu anda tahu.
1. Elakkan penggunaan bulu mata palsu di pejabat
Anda tidak mahu bulu mata palsu anda tertanggal di tengah-tengah mesyuarat bukan? Kadangkala di tempat yang berhawa dingin, gam bulu mata anda mudah kering dan menyebabkan ia tercabut sendiri. Jadi lebih elok ia di simpan untuk hari minggu.
2. Palit maskara berpada-pada
Pemakaian maskara yang terlalu tebal kadang kala membuat wajah tampak comot, jadi apa yang lebih elok adalah palit maskara anda bermula daripada pangkal bulu mata dan akhiri di hujungnya, ini akan membuat bulu mata lebih panjang. Ramai yang cuma memalit maskara di hujung-hujung saja untuk mendapatkan efek tebal, namun ia hanya membuat maskara bergumpal dan comot.
3. Jangan mencuba produk baru di hari bekerja
Anda ingat bronzer yang anda baru beli pada hari minggu lepas? Jangan jadikan hari Isnin sebagai hari untuk mencuba segalanya, apa kata selepas saja anda membeli produk tersebut anda cuba dahulu di hari minggu. Malah bronzer bukan penting dilayangkan pada wajah kala ke pejabat.
4. Cuba solekan glowing
Selain membuat kulit tampak sihat ia juga menyerlah kecantikan semula jadi kulit. Namun pastikan solekan ini tidak dilakukan kala anda bekerja di luar, bimbang wajah menjadi lebih berminyak.
5. Jangan menggunakan pembayang mata rona perak atau berkilau
Ia bukanlah keputusan yang baik jika anda mengenakan solekan begini ke pejabat. Walaupun tujuan anda cuma untuk ia bertahan sehingga ke malam dek kerana anda punyai janji temu makan malam. Apa yang anda boleh lakukan adalah cuba warna yang asli dan bertekstur pusam, tiba malam cuma lapiskan saja dengan pembayang mata berkilau.