Gambar: SK-II
Siapa yang tidak kenal Michelle Phan? Jika anda peminat dunia kecantikan, lebih-lebih lagi dalam hal bersolek pasti pernah terlihat video tutorialnya walaupun hanya sekali. Dia punya 7.8 pengikut di YouTube dan punya 1.9 juta pengikut di Instagram. Dan baru-baru ini SK-II mengundang Michelle untuk sama-sama terbabit dengan projek istimewa mereka, Beauty Bound Asia, iaitu satu projek mencari beauty creator generasi baru. EH! sempat menemu bualnya menerusi Google Hangout bersama Michelle Phan atas undangan SK-II.
Apakah kunci utama untuk Berjaya sebagai Vlogger?
Pada saya kunci utamanya ialah kita perlu hadir dengan cara dan idea berbeza. Bila kita berikan sesuatu yang berbeza, orang lebih mudah untuk membezakan kita. Misalnya, membuat tutorial untuk wanita berhijab, dilengkapi pula dengan cara mengikat skarf. Ya, pada sesetengah orang fikir ia niche market, hakikatnya niche market pasarannya juga luas dan lebih spesifik.
Boleh kongsikan tip solekan untuk wanita berkerjaya?
Pada saya paling penting kita laburkan duit membeli set penjagaan kulit yang bersesuaian dengan kulit kita. Bila kita punya kulit yang cantik dan sihat secara tidak langsung kita tidak memerlukan banyak proses solekan untuk mendapatkan look yang sempurna. Masa juga lebih jimat. Bagi saya, untuk wanita yang sentiasa sibuk dan tiada masa untuk berlama-lama di meja solek, mereka Cuma perlu sapukan penyamar noda (concealer), calitkan maskara dan calitkan gincu pada bibir. Itu sudah cukup untuk buat wajah tampak segar.
Bagaimana pula dengan solekan harian anda?
Biasanya bila bersolek saya akan berikan tumpuan yang lebih pada bahagian kening kerana saya kening saya tidak lebat. Selain itu saya sapukan sedikit penyamar noda, lebih-lebih lagi pada bahagian bawah mata. Maklumlah pabila usia meningkat mata mudah kelihatan letih.
Apakah barang yang anda mesti bawa pabila pergi bercuti?
Pelembap, kerana kulit mudah berasa kering pabila berada di dalam kapal terbang. Penyamar noda juga sangat penting, siapa tahu kita duduk bersebelahan dengan lelaki yang cute.. just kidding (ketawa). Tapi, semestinya kita mahu kelihatan cantik sama ada kita duduk di sebelah lelaki mahupun perempuan kan. Saya juga akan bawa aromaterapi yang akan saya sapukan pada pelipis tiap kali kapal terbang bergoyang. Ia buat saya berasa lebih tenang.
Apakah resolusi cantik anda untuk tahun 2016?
Tidak terlalu spesifik akan hal kecantikan, tapi resolusi saya untuk tahun hadapan mahu lebih berasa tenang. Saya mahu lebih bijak berhadapan dengan stres. Pada saya itu adalah perkara paling penting. Saya mahukan dalaman yang lebih relaks. Saya lebih mahu menghargai kehidupan. Tidak mahu berkepit dengan telefon sepanjang masa. Oh ya saya mahu lebihkan makanan berkhasiat.