Gambar: NARS
Jika anda tanyakan pada kami apakah warna gincu paling hangat musim ini, jawapannya ialah jingga. Rona inilah yang banyak dicalit pada bibir model-model di minggu fesyen musim bunga/panas 2014. Seperti kata Pengarah Artistik global Revlon, Gucci Westman yang mencipta wajah bagi Rag & Bone, “Kami memilih rona yang bold kerana ia cukup sesuai dengan helaian yang dipentaskan musim ini.” Rangkaian alat solek Nars musim ini juga menonjolkan rona jingga sebagai rona bibir utama. Jadi tiada alasan mengapa anda harus takut mengenakan gincu oren musim ini.
Gambar: DKNY/Prabal Gurung
Tip Solekan Gincu Jingga
1. Klise tetapi itulah yang sebaiknya. Seeloknya ketepikan solekan mata yang berat. Biarkan bibir menjadi fokus pada wajah. Penggaris mata sudah memadai.
2. Jika anda dikurniakan bibir tebal, pilih gincu oren bertekstur pusam. Usah mencalit pengilat bibir kerana ia buat bibir terlalu menonjol dan menenggelamkan kecantikan wajah anda.
3. Bagi buah pipi pula, kami cadangkan anda layangkan pemerah pipi rona pic atau koral. Elakkan rona pink kerana kedua-dua warna (jingga dan pink) ini sangat menonjol. Usah buka ruang untuk bibir dan pipi bersaing mencari perhatian.