Gambar: INGimage
Selain daripada rambut kusut dan bercabang, punca lain wanita hilang keyakinan adalah masalah rambut berkelemumur.
Percaya ataupun tidak, memang ada wanita yang sanggup tidak keluar rumah dek kerana masalah kelemumur yang serius.
Jika setakat kelemumur halus yang muncul setelah seharian tidak mencuci rambut itu dikira normal, namun ada yang hingga berkuping-kuping, jadi logiklah ia mengganggu penampilan dan keyakinan diri.
Memelihara rambut daripada kelemumur tidak sukar cuma perlu rajin. Jika anda mengambil soal penjagaan rambut dan kulit kepala sambil lewa itu yang menyebabkan kelemumur, gugur dan bercabang.
Walaupun bertudung, penjagaan rambut tetap diutamakan, malah penjagaan ekstra perlu diberikan berbanding mereka yang tidak berhijab. Kulit kepala yang tertutup dalam tempoh lama mengundang peluh yang akhirnya bercampur minyak semula jadi lalu mengundang masalah kelemumur yang serius.
Setiap individu perlu peka terhadap punca masalah ini untuk lebih memahami dan menjaga kesihatan rambut. Biasanya masalah kelemumur ini disebabkan beberapa perkara iaitu:
Seborrheic dermatitis
Biasanya menunjukkan simptom gatal-gatal, kulit kepala berminyak atau kulit kepala kering, gatal dan berkuping. Keadaan ini disebabkan cuaca panas. Bentuk keruping disebabkan kulit kepala kering dan kurang berminyak berbanding punca-punca lain yang menyebabkan kelemumur.
Sensitif
Bagi wanita yang mengalami masalah sensitif pada sesetengah produk rambut akan mengalami situasi kulit kepala kemerahan dan gatal. Sebenarnya terlalu kerap mencuci rambut juga boleh menyebabkan kelemumur.
Jangkitan Yis Malassezia
Selain itu kelemumur juga boleh disebabkan jangkitan yis Malassezia. Malassezia hidup pada permukaan kulit kepala hampir setiap individu dewasa tanpa menyebabkan sebarang masalah.
Namun apabila tidak terkawal, ia akan merembeskan lebih minyak daripada folikel rambut. Ini menyebabkan iritasi pada kulit kepala dan menggalakkan lebih banyak sel kulit terhasil.
Lebihan sel kulit akan mati dan tertanggal, kemudiannya bercampur dengan minyak daripada rambut dan kulit kepala, lantas menyebabkan ia kelihatan memutih, berkuping dan jelas kelihatan pada rambut juga pakaian anda.
Namun punca sebenar Malassezia tidak diketahui. Boleh jadi ia disebabkan terlalu banyak minyak pada kulit kepala, perubahan hormon, tekanan, masalah saraf seperti Parkinson, sistem imunisasi terganggu, tidak mencuci dengan kerap dan semua masalah ini menyumbang kepada kelemumur.
Tidak mencuci rambut
Bagi wanita yang jarang mencuci rambut juga mudah mendapat masalah ini. Jika anda tidak membasuh rambut dengan kerap, minyak dan sel kulit daripada kulit kepala akan terbina, lantas menyebabkan kelemumur.
Psoriasis
Ada sesetengah wanita menghidapi masalah psoriasis yang merupakan sejenis penyakit kulit biasa yang menjejaskan kitaran hidup sel kulit akibat sel tumbuh dengan cepat pada permukaan kulit, membentuk sisik tebal, berkilat, gatal, kering, kemerah-merahan dan kadangkala menimbulkan rasa sakit yang berlarutan. Keadaan ini biasa berlaku di sekitar lutut, siku tetapi boleh juga berlaku pada kulit kepala.
Ekzema
Penghidap penyakit kulit ekzema juga biasa mengalami kelemumur. Ia tidak boleh dipulihkan sepenuhnya, namun anda boleh merawatnya agar ia tidak menjadi serius. Lebih elok jika mendapatkan nasihat doktor.