Oleh: Farhana Fuad
Sudah sinonim dengan nama Luxuria Cosmetics yang diperkenalkannya beberapa tahun lalu, biarpun sarat hamil 7 bulan, ianya tidak menghalang Diana Danielle ini untuk terus mengembangkan perniagaan kosmetik ini.
“Sebagai seorang selebriti, memakai barangan kosmetik adalah antara satu rutin harian dan ianya sangat penting untuk saya memastikan kesihatan kulit wajah saya terjamin selamat serta meneliti apakah bahan-bahan yang digunakan dalam produk kecantikan yang saya gunakan. Kelahiran Luxuria Cosmetics sebenarnya berpunca dari hasil kajian saya mengenai kualiti dan produk semula jadi yang bebas dari sebarang ujian kepada haiwan kerana saya adalah seorang pencinta haiwan,” ujar Diana.
Menurut Diana yang di temu bual di sidang media pelancaran debut Lazada bersama Luxuria Cosmetics, “Menjadi selebriti pastinya setiap hari wajah akan disolek dengan pelbagai jenis produk yang mereka pilih dan gunakan. Dan akhirnya kulit saya mula menjadi sensitif. Saya terpaksa mendapatkan rawatan dari pakar untuk merawat kulit saya selama beberapa bulan. Jadi, bermula dari situ, saya dan sahabat karib saya hadir dengan idea untuk mencari dan mencipta produk kosmetik yang sesuai dan selamat untuk semua.”
Secara amnya, Luxuria adalah produk kosmetik dari Diana Danielle yang bekerjasama dengan sahabat karibnya, Harveen Dhaliwal. Dua sahabat ini merupakan pencinta haiwan dan kala mereka mencari produk kosmetik, mereka mendapati yang ianya adalah satu cabaran yang sukar untuk mencari satu produk yang semula jadi, bebas dari penganiayaan haiwan dan berpatutan.
Jadi, ia yang membawa mereka ke arah mengejar impian untuk menghasilkan produk solekan yang selamat dan sesuai untuk semua lapisan umur serta semua jenis kulit. Bagi Diana dan Harveen, untuk kelihatan cantik ianya tidak memerlukan sesuatu yang tidak sihat terhadap manusia, haiwan mahupun alam sekitar.
“Yang paling membanggakan, produk kami (Luxuria Cosmetics) mendapat kelulusan dari Cruelty Free dari PETA (People for the Ethical Treatment of Animals) dan New Zealand SAFE Organisation,” kata Diana lagi. Luxuria Cosmetics mula dipasarkan pada tahun 2012. Keseluruhannya, produk Luxuria Cosmetics menggunakan bahan-bahan semula jadi, bebas dari sebarang bahan kimia, dan 100% vegan.
“Saya sangat teruja untuk bekerjasama dengan syarikat terkenal pembelian barangan berjenama atas talian ini dalam mempromosikan produk Luxuria Cosmetics. Dengan Lazada Malaysia, Luxuria akan lebih mudah untuk diakses untuk peminat-peminat saya di seluruh Malaysia dengan harga yang sangat berpatutan.” ujar Diana.
Kini, hasil kolaborasi terbaru Lazada Malaysia dan Luxuria Cosmetics, produk kosmetik daripada aktres popular ini boleh didapati secara atas talian di laman web Lazada Malaysia.