Gambar: INGimage
Mungkin merapikan kening bukan amalan ramai tetapi jika ada diantara anda yang ingin merapikannya, ada beberapa teknik yang boleh kamu cuba. Jika tidak memilih untuk merapi, cara terbaik adalah untuk pelajari teknik melukis kening supaya tampak lebih kemas dan membingkai wajah manis anda. Berikut adalah antara pilihan jika anda memilih untuk merapinya.
Treading
Teknik ini menggunakan benang yang disimpulkan di hujung jari kiri dan kanan serta dipegang menerusi kepitan bibir. Lalu kening dicabut melalui dua benang yang bergesel. Teknik ini hanya boleh dilakukan pakar atau yang berpengalaman. Teknik treading mencabut kening dari akarnya dan bagus untuk melambatkan proses pertumbuhan semula kening. Namun, keburukannya, bentuk kening kurang semula jadi kerana cara cabutannya yang sukar diperhalusi.
Mencukur
Cara ini dilakukan untuk merapikan kening secara cepat dan mudah. Ia menggunakan mata pisar cukur. Melalui kaedah ini, bentuk kening lebih mudah ditentukan kerana pergerakan tangan mampu dikawal. Namun, disebabkan kening tidak dicabut dari akarnya, ia memudahkan percambahan semula kening. Malah, jika tidak dikemasi selalu, ia akan tumbuh lebih berselerak.
Mencabut
Teknik mencabut kening menggunakan pengepit khas. Teknik ini dilakukan dengan mencabut sehelai demi sehelai bulu kening. Ia antara kaedah perapian kening yang sangat baik. Selain mudah, menentukan bentuk kening, ia juga satu cara merapikan kening dalam jangka masa panjang kerana kening dicabut dari akarnya. Cuma, ramai yang tidak menggemarinya kerana ia sedikit sakit.
Menggunting
Ini kaedah paling senang, cepat dan sesuai untuk orang yang tidak arif dalam teknik riasan kening. Gunting kecil digunakan untuk memotong lebihan kening yang berjuntai keluar dari bentuknya. Namun ini jangka masa pendek kerana kening akan panjang kembali dalam tempoh singkat.