Oleh: Farhana Fuad
Gambar: Arkib EH!
Manis dan santunnya ternyata buatkan selebriti wanita popular ini menjadi inspirasi buat ramai wanita di luar sana. Secara umumnya kita tahu bahawa Ummi Nazeera mempunyai kulit wajah yang cantik dan berseri tatkala dipandang. Pastinya ramai peminatnya yang ingin tahu apakah rahsia keayuan dan kecantikan yang dimiliki aktres jelita ini?
EH! berkesempatan untuk menemu ramah selebriti tempatan yang cukup terkenal di industri hiburan masa kini. Berkongsi tentang tip kecantikannya melalui cara penjagaan rambut yang diamalkannya setelah memakai hijab yang boleh dijadikan inspirasi buat ramai wanita berhijab di luar sana.
“Actually sama saja. Dulu dengan sekarang. Cuma selepas saya berhijab, saya dapat a new trick on how to cut my hair. Sebab ianya agak susah untuk mencari salun dengan bilik privasi khas untuk wanita berhijab. Jadi, saya belajar potong rambut sendiri. Sebab sebenarnya memang dari dulu, I don’t really do anything to my hair. Sebab saya percaya bila kita letak terlalu banyak bahan kimia ke atas rambut kita, ia akan merosakkan lagi rambut. So, my tips is not to do so much to the hair.
“Pastikan mencuci rambut sebanyak sekali dalam masa dua hari. I try not to wash everyday. Tetapi jika ada satu masa yang mana saya sibuk untuk penggambaran, saya akan cuci untuk menghilangkan kesan minyak pada kulit kepala. It’s depends on daily routine. Juga jangan lupa untuk pastikan rambut kering sepenuhnya selepas dicuci dan barulah memakai hijab demi untuk mengelakkan rambut berbuah.” kata Ummi Nazeera.
Apabila ditanya pula mengenai rejim kecantikannya untuk kekal sihat dan langsing setiap masa, Ummi menyatakan yang dia sememangnya menjaga pemakanannya agar tubuh sentiasa kekal fit dan sihat.
“Setiap pagi saya akan ambil pisang atau betik dan minum air kosong. Ia akan membantu melawaskan perut saya. Saya juga mengambil suplemen 3 dalam 1. Ianya adalah saranan daripada ibu bapa saya. Saya juga akan pastikan diri saya mengambil lebih banyak air setiap hari dan mengurangkan makanan yang terlalu berminyak dan manis. Manisan yang saya pilih adalah buah-buahan. Saya cuba untuk elak makan pada waktu malam dan saya kurang mengambil nasi pada waktu malam. Saya akan gantikannya dengan buah-buahan atau sayur-sayuran.”