Gambar: INGimage
Senyuman menawan pastinya hadir dari gigi yang bersih dan putih berseri tanpa sebarang masalah kaviti. Dengan senyuman yang manis serta gigi yang putih bersih mampu menambat hati pasangan serta menjamin keselesaan orang disekeliling kita. Ianya sedikit sebanyak menaikkan keyakinan diri kita untuk berkomunikasi dengan orang lain.
Ikuti tip ini yang mampu memberikan gigi putih berseri.
Tukar Berus Gigi Dengan Kerap
Bagi yang menggunakan berus gigi biasa ataupun elektronik, anda harus menukar berus atau kepala berus sekurang-kurangnya setiap 2 atau 3 bulan. Ini dapat mengelakkan bakteria yang tidak diingini masuk ke dalam mulut. Dan pastikan berus yang digunakan serasi dengan bentuk gigi juga sama ada jenis lembut atau lebih tekstur pada jenis berus.
Bersihkan Lidah
Guna pembersih lidah setiap pagi untuk membuang plak pada lidah. Cara ini membantu menyegarkan lagi nafas anda.
Gosok Gigi 2 Kali Sehari
Menggosok gigi selepas bangun dan sebelum tidur penting kerana air liur (yang menghalang kaviti pada gigi) menjadi kering pada waktu malam. Ini menyebabkan gigi mudah terdedah kepada kerosakan. Malah, membersihkan gigi setiap pagi membantu mengurangkan bakteria, plak dan bau nafas busuk yang terbentuk sewaktu tidur.
Mulut Kekal Segar
Untuk menguji bau nafas, anda hanya perlu menjilat belakang tapak tangan dan hidu air liur ketika ia masih basah. Jika mulut anda berbau, ini bermakna anda perlu mengambil gula-gula penyegar nafas. Malah anda juga boleh menggunakan ubat kumur bebas alkohol. Ubat kumur yang mengandungi terlalu banyak alkohol boleh mengeringkan tisu dalam mulut yang menyebabkan mulut lebih terdedah kepada bakteria.