Gambar: Arkib EH!
Siapa yang tidak kenal pada aktres jelita kacukan ini. Wajahnya serta tubuhnya sentiasa cantik dan langsing memikat ramai. Kulitnya yang berseri semula jadi menjadi tanda tanya apakah rutin kecantikan yang dirinya amalkan.
Ingin tahu cara cantik Maya Karin? EH! singkap rahsia kecantikan aktres ini.
Sejak bila dan siapa yang mengajar anda bersolek?
Semasa saya berumur 14 atau 15 tahun, ibu menghantar saya ke grooming class di Indonesia untuk belajar bersolek. Saya mengambil kelas itu seminggu sekali untuk 2 hingga 3 bulan. Ia bukan secara intensif, sekadar aktiviti selepas sekolah.
Boleh kongsikan tip anda menjaga rambut?
Mungkin ada sebarang petua tradisi? Saya memakai pupur rambut dan serum. Pupur rambut dibuat sendiri mengikut budaya Indonesia dan ramuan utama yang saya gunakan ialah buah avokado. Avokado amat bagus untuk rambut dan kulit kerana ia mempunyai banyak vitamin dan minyak.
Kongsikan rejim penjagaan kulit wajah anda setiap hari?
Makan dengan sihat dan minum air suam. Saya alah pada kacang dan hasil tenusu jadi saya perlu jaga pemakanan.
Selain menggunakan produk tertentu, apa lagi yang anda lakukan demi memastikan kulit anda kekal sihat dan tampak segar?
Selain daripada menggunakan pupur muka avokado, saya akan mengenakan skrub di rumah. Penjagaan kulit saya amat mudah. Saya tidak faham kenapa ramai orang tidak menjaga kulit mereka. Maksud saya, bukan anda harus gila dengan penampilan tetapi apa yang Tuhan berikan, anda haruslah jaga dengan betul supaya apabila mencecah umur 40 tahun atau 50 tahun, anda masih lagi tampil menawan.
Anda mengamalkan sebarang diet?
Sekarang saya mengutamakan kesihatan dan saya hanya mahu makan makanan yang baru sahaja dimasak tanpa bahan pengawet. Sebagai contoh, saya akan membeli makanan di kedai nasi campur yang mana saya tahu mereka baru sahaja memasaknya pagi tadi, saya akan memilih makanan yang sihat seperti sayur bayam, pucuk paku dan tempe. Saya tidak lagi menggemari makanan yang sudah siap dibungkus, makanan dalam tin misalnya serta fast food.