Dua minggu sebelum
Waktu ini kebanyakan bakal pengantin sudah mengambil cuti untuk menyelesaikan hal-hal kecil, memastikan segala tempahan berjalan lancar. Jadi ambil waktu ini untuk berada di rumah dan lakukan senaman ringan.
APA YANG PATUT DILAKUKAN
1. Elakkan berjumpa dengan rakan-rakan pada waktu malam dan sebolehnya jangan terlalu kerap menghubungi bakal suami. Jadikan waktu ini sebagai time-off agar anda boleh menyimpan rasa rindu.
2. Buat janji temu bersama pendandan rambut untuk trim saat akhir atau mewarnakan rambut. Apabila anda mewarnakan rambut sekarang, selepas dua minggu ronanya akan tampak lebih asli dan menawan. Elakkan warna yang terlalu terang atau pelik.
3. Sekiranya anda mempunyai rambut kering, cuba urutan minyak panas selang tiga hari. Anda boleh pilih untuk menggunakan minyak bijan, badam atau zaitun. Diikuti dengan membungkus rambut dengan tuala yang sudah dicelup dengan air panas selama lima minit. Minta nasihat daripada penggaya rambut anda tentang bagaimana untuk menjaga rambut berwarna dalam seminggu.
4. Tambahkan rejim pengelupasan pada waktu ini. Anda boleh lakukan di rumah dengan menggunakan campuran gula dan isi buah untuk dilulur pada kulit. Jangan lupa penjagaan tangan dan kaki.
5. Gunakan pupur yang dipercayai dan selamat digunakan, elakkan penggunaan pupur berlebihan, cukup sekali seminggu.