Dua jurusolek selebriti ternama Ady Razak dan Syed Faizal menerokai The O Collection, dan lihatlah betapa versatilnya koleksi eksklusif dari NARS ini.
Pemerah pipi Peach Pink NARS punya sejarah yang panjang dalam kanvas kembara jenama kosmetik kelahiran New York ini. Saya sendiri mengumpul banyak momen manis bersama NARS termasuklah bertemu dan menemubual pengasasnya sendiri, Francois Nars di kota New York beberapa tahun dahulu.
Peachy Pink asalnya hanyalah pemerah pipi, yang mana warnanya sangat ikonik, sesuai dengan semua ton kulit. Tidak kiralah wanita berkulit cerah, sawo matang mahupun gelap, pemerah pipi dari NARS ini sangat sesuai. Teksturnya berkilat-kilat, ada pigmen mikro berkilau dan warnanya dalam ton koral dengan percikan merah samar.
Selepas diangkat statusnya sebagai ‘ikonik’ di dalam keluarga NARS, warna pemerah pipi peachy pink ini dikembangkan dengan rangkaian alat solek yang lain termasuklah pembayang mata mahupun gincu. Tahun ini NARS membuka kalendar 2023 dengan koleksi The O Collection, yang menyajikan pembayang mata, multiple stick, palet buat pipi dan juga gincu.
Istimewa dengan pelancara koleksi ini, EH! mengundang dua jurusolek terkenal, Ady razak dan Syed Faizal untuk meluahkan kreativiti mereka dengan menerokai himpunan yang terilham dari pemerah pipi ikonik ini.
BOLD & SEXY LOOK BY ADY RAZAK
Jurusolek selebriti Ady Razak mencipta riasan yang seksi dan ‘bold’ menggunakan NARS O Collection, yang mana koleksi ini diinspirasikan daripada pemerah pipi ikonik NARS, Orgasm. Di bahagian mata, Ady bermain dengan ton warna yang lebih warm dan gelap dari Rising Eyeshadow Palette. Warna pilihannya ialah Push It, Seven Heaven dan Hotwired. Untuk pipi pula Ady mengadun mesra tiga warna dari Orgasm Four Play Blush Quad. Menyempurnakan solekan, Ady mencalit Air Matte Ultra Liptint (kod MUSE), warna nude yang mengimbangi keseluruhan riasan.
ROMANTIC LOOK BY SYED FAIZAL
Permainan highlighter dari stik The Multiple menjadi ‘tool’ utama jurusolek selebriti Syed Faizal dalam mencipta gaya solekan yang glowing dan romantik. Syed menggunakan dua warna The Multiple dari NARS O Collection iaitu Rosy Bronze dan Peachy Pink. Malah Syed menggunakan The Multiple pada bahagian mata khususnya di bawah kening. Seduce, High Speed dan Hotwired pula tiga warna dari Rising Eyeshadow Palette yang menjadi pilihan Syed untuk riasan mata. Dan untuk bibir pula Syed menyapu Air Matte Ultra Liptint, Gone Wild yang hadir dalam ton merah untuk gaya bibir yang lebih menyerlah.
RISING EYESHADOW PALETTE, RM220.
Dilengkapi dengan sembilan warna yang lebih dari cukup untuk anda bereksperimentasi dengan pelbagai gaya solekan. Tekstur yang berpigmen, dengan kemasan yang berkrim, sekali sapu sudah jelas warnanya. Biasan warna merah samar dan ton-ton yang lebih hangat mendominasi palet ini selain ton coklat sebagai satu ton yang sangat versatil.
FOUR PLAY BLUSH QUAD, RM203.
Era bermain dengan highlighter dalam solekan masih belum berakhir. Highlighter beradun dengan pemerah pipi adalah cara solekan yang kini dilihat malar segar yang akan kekal dalam rejim solekan. NARS melengkapkan palet pipi ini dengan ton merah jambu dan keemasan.
THE MULTIPLE, RM175.
Koleksi ini disempurnakan dengan dua stik yang sangat versatil, sama seperti The Multiple NARS yang lain. Dibekaskan dalam bekas merah samar, The Multiple ini dilengkapi dengan warna istimewa yakni Rosy Bronze. Warnanya berpercik gangsa, lebih hangat. Tekstur yang berkrim menjadikan stik ini sangat fleksibel, boleh dijadikan pembayang mata, dicalit di bawah tulang kening, tulang pipi mahupun atas lekuk bibir untuk efek bibir nan mungil.
NARS O Collection kini boleh dimiliki di butik NARS dan juga secara dalam laman sesawang NARS.