Bvlgari memperkenalkan rangkaian haruman terbarunya yang dicipta dengan karakter berbeza, dari beraroma bunga-bungaan feminin hingga ke aroma segar beritma buah-buahan.
Haruman itu bagi saya sangat peribadi, ia adalah cerminan kepada cita rasa juga karakter diri. Kerana itu jugalah pilihan setiap individu itu berbeza-beza. Ada yang gemarkan yang bersifat sitrus, ada juga yang menggemari yang didominasi bunga-bungaan, manakala ada juga yang menyenangi kayu-kayan dan sesetengahnya suka pula dengan yang bernuansa buah-buahan. Lain orang, lain pula seleranya.
Menyedari betapa bervariasinya selera, Bvlgari, jenama aksesori mewah dari Itali membariskan beberapa pilihan segar menerusi koleksi haruman terkininya, Bvlgari Allegra yang cuba membawa anda menyuntik satu pengalaman yang sangat peribadi dalam menyembur haruman.
Menerusi himpunan ini, Bvlgari menghidangkan lima pilihan haruman yang dibotolkan dalam warna-warni, selari dengan warna-warna batu permata yang sering sahaja melatari perhiasan mewah jenama ini.
RIVA SOLARE
Haruman ini kuat pengaruh aroma sitrusnya yang mana bahan utamanya ialah bergamot dari Calabria. Turut dicampurkan di dalam minyak wangi ini ialah musk accord yang membuatkan haruman ini bertambah segar, bagaikan anda berpergian ke Itali, percutian yang tiada noktahnya.
FIORI D’AMORE
Seperti botolnya yang tampil dalam warna merah yang sinonim dengan pengertian cinta, samalah juga dengan haruman ini yang mahu memercikkan rasa cinta menerusi campuran rasberi dan accord. Rasberi yang diramu di dalam haruman ini dipetik pada musim panas, membuatkan aromanya cukup sedap dan pekat.
DOLCE ESTASI
Diinspirasikan daripada pastri dan kemanisan gula-gula, haruman ini memercikan nuansa rasa manis dengan sentuhan bunga-bungaan. Kelembutan haruman ini diterjemahkan pada kelalang haruman ini yang tampil dalam ton gradient merah samar.
ROCK ‘N’ ROME
Dari namanya sudah diduga apakah aroma yang bakal mengisi ruang udara saat disembur pada kulit. Rock ‘n’ Rome menyuntik aroma segar, bagaikan segelas koktel di musim panas. Ia mencambah bau buah-buahan. Warna kelalangnya bagaikan sinaran cahaya matahari yang sedang menyembunyikan wajahnya di senja hari.
FANTASIA VENETA
Patchouli yang diambil dari Indonesia menjadi nadi utama kepada haruman yang sangat ‘seksi’ warna botolnya (ungu dan penutupnya berona merah garang). Ia juga dihangatkan dengan buah pic dan vanilla yang membuat haruman ini cukup sifatnya.
Lima Esen Eksklusif, Yang Pertama Di Industri Haruman
Buat pertama kalinya dalam sejarah pembuatan minyak wangi, esen istimewa diperkenalkan untuk digandingkan dengan haruman. Dinamakan sebagai ‘Magnifying’, esen ini boleh disuai padan dengan lima haruman dari rangkaian Bvlgari Allegra.
Ada lima esen kesemuanya iaitu Magnifying Musk, Magnifying Bergamot, Magnifying Rose, Magnifying Patchouli dan Magnifying Vanilla. Dicipta hasil ilham pakar haruman Jacques Cavallier, esen ini dicipta sebagai lapisan kedua selepas menyembur haruman, lantas mencipta pelbagai emosi pada haruman anda. Jadi ada lima haruman dan lima esen, pilihlah yang mana bisa memenuhi selera bau anda. Allegra EDP RM984 (100ml), Allegra EDP RM689 (50ml) dan Magnifying Essence RM787 (40ml).
Baca: Chloé Lancar Eau de Parfum Naturelle, Haruman Vegan Demi Kelestarian Alam