Dari bekas berus, pengilat kuku dan cermin mini, Chanel perkenalkan variasi warna yang comel menerusi koleksi Codes Couleur.
Saat saya menerima kit istimewa dari Chanel berisi Codes Couleur, saya terus berkata, “oh my god, cantiknya.” Dan reaksi itu jugalah saya terima bila saya berkongsi gambar dan video di IG story saya. Ramai yang membalas dengan keterujaan. Ada yang kata warnanya bagaikan gula-gula, ada yang kata ‘cute’, dan sebahagian pula memang sudah merancang mahu memilikinya.
Secara peribadinya, saya rasa idea Chanel memperkenalkan Codes Couleur ini sangat ringkas sebenarnya tetapi punya impak tersendiri. Ya, kerana ramai orang khususnya wanita suka menyeragamkan apa-apa sahaja barang mereka mengikut warna termasuklah alatan untuk merias diri. Jadi bila Codes Couleur diperkenalkan saya rasa ia satu ilham yang sangat bijak dan menarik. Selalunya bekas berus mahupun cermin mini hadir dalam warna yang asas seperti hitam dan putih, atau paling tidak pun perak dan emas.
Setiap warna yang Chanel perkenalkan menerusi koleksi ini punya cerita dan tarikan tersendiri. Bagi yang gemarkan warna yang lembut dan ‘comel’, Immortelle (ungu cair), Ballerina (merah samar), Ovni (kuning air) dan Cavalier Seul (hijau cair) adalah ton paling padan.
Jika mahu sesuatu yang lebih bold dan menyerlah Incendiaire (jingga kemerahan), Diva (fuchsia) dan Premiere Dame (koral) tiga ini pilihan untuk anda. Jika mahu sesuatu yang lebih misteri dan classy, saya sarankan dua pilihan warna antara Rouge Noir (seakan merah kesuma bertemu coklat) dan juga Fugueuse (biru gelap).
CHANEL LE VERNIS MERAI EMOSI
Musim ini Chanel bawakan variasi warna yang lebih variasi untuk kuku anda dan ini kerana rumah fesyen Paris ini mahukan kuku anda menjadi simbol kepada emosi anda. Chanel Le Vernis memang terkenal dan pewarna kukunya memang menjadi kesukaan ramai. Malah jika saya melangsungkan penggambaran, pewarna kuku ini antara yang mengisi bagasi mekap jurusolek selebriti.
‘Kamus’ warna Le Vernis musim ini menyajikan warna ungu cair, merah menyala, hitam, merah jambu yang seikit keunguan, nude dan warna asli menyerupai ton kuku semula jadi. Le Vernis mahu warna yang membarisi koleksi musim ini memberikan tenaga, warna yang menenangkan, yang menggembirakan perasaan, yang memberi kekuatan dan juga warna yang membuatkan anda berani.
Koleksi Codes Couleur dan Le Vernis yang baharu sudah pun berada di butik kecantikan Chanel dan boleh juga dimiliki menerusi laman belian dalam talian di pautan INI!