Haruman ikonik seantero dunia, Chanel N°5 meraikan ulang tahunnya yang ke-100 tahun ini. Seabad yang terus mengharum.
Jika anda perasa, semalam (5 Januari) ramai selebriti dan influencer lokal berkongsi interpretasi mereka tentang haruman Chanel N°5. Mengambil tarikh 5 Januari, tahun ini adalah detik paling bermakna buat Chanel bila mana haruman ini mencecah satu abad usianya. Dan sehingga ke hari ini haruman yang dicetuskan idea oleh Coco Chanel sendiri terus gah menjadi pilihan wanita-wanita seluruh dunia.
Lima Fakta Menarik Tentang Chanel N°5.
Lambang Stail & Personaliti Coco Chanel
Haruman ini dicipta oleh pakar haruman Ernest Beaux selepas Coco Chanel terfikir untuk mempunyai haruman sendiri bagi rumah fesyennya. Idea ini tercetus sewaktu Coco berbual-bual dengan temannya di Monte Carlo. Coco mahukan haruman yang melambangkan stail juga personalitinya.
Mengapa Nombor 5?
Ernest mempersembahkan banyak sampel Haruman kepada Coco Chanel, dan dalam banyak-banyak sampel itu Coco memilih sampel nombor lima. Maka dari situlah tercetusnya nama Chanel N°5.
Inspirasi Place Vendôme
Jika diperhatikan pada penutup haruman ini, potongan dan bentuknya seperti berlian tapi sebenarnya ia adalah diinspirasikan daripada pandangan dari atas Place Vendome, lokasi ikonik di paris. Di situ jugalah terletaknya Ritz Paris, tempat tinggal Coco Chanel.
Salah Satu Pop Culture
Marilyn Monroe pernah berkata dia menyembur Chanel N°5 sebelum dia beradu. Malah sewaktu berakhirnya perang dunia kedua, berderet tentera Amerika berbaris membeli Chanel N°5 untuk dijadikan hadiah buat isteri atau kekasih mereka.
Inti Pati Chanel N°5
Aroma mengasyikkan Chanel N°5 adalah hasil gabungan ylang-ylang yang diambil dari Madagascar dan Mayotte, kuntuman May rose dan bunga melur dari Grasse, Perancis.
Klik: #EHklusif Interview: Olivier Polge, Pemilik Deria Bau Hebat Di Chanel