Meneruskan kesinambungan kegemilangan CK One, CK Everyone kini lebih ekspresif dengan inti pati yang lebih hangat.
Haruman Calvin Klein sangat besar pengaruhnya sewaktu saya membesar. Saban bulan saya akan membeli majalah, dan iklan haruman CK One antara yang popular ketika itu. Imej hitam putih sangat sinonim dengan haruman ini, malah bagi saya memiliki haruman CK One bagaikan satu wishlist bagi rata-rata remaja waktu itu.
Sejak dilancarkan pada tahun 1994, CK One menjadi salah satu budaya pop yang sangat popular di seluruh dunia. Rentetan dari situ, Calvin Klein tercetus ilham mahu melancarkan haruman uniseks era baru, maka lahirlah CK All dan CK Everyone.
CK Everyone dilihat sebagai satu terjemahan baru bagi CK One, namun ditonjolkan dalam identiti yang lebih berani dan bertenaga. Pemilihan esen haruman ini diinspirasikan daripada corak gaya hidup belia hari ini yang lebih ekspresif dan tidak menjadikan apa-apa sempadan sebagai penghalang untuk mereka menjadi diri sendiri.
EKSPRESI CK EVERYONE
Haruman ini hadir dalam edisi EDP dan direalisasikan oleh tiga pakar pembuat minyak terkenal Alberto Morillas, Franck Voelkl dan Gabriela Chelariu yang mana mereka masih mengekalkan elemen sitrus dan dihangatkan dengan percikan aroma kayu-kayan.
Masih mengekalkan identiti sebuah haruman uniseks, komposisi haruman ini bernada segar dengan nota oren organik yang diambil dari Mexico dan beradun mesra dengan teh hitam Sri Lanka. Teh adalah bahan penting dalam pembikinan CK One, jadi adalah satu kemestian untuk teh kekal berada dalam senarai bahan-bahan CK Everyone EDP.
BINTANG CK EVERYONE EDP
Kempen haruman ini dibintangi figura berpengaruh masa kini termasuklah bintang ‘Gossip Girl’ era baharu, Evan Mock yang tampil dengan rambut merah jambunya. Selaiin itu, Calvin Klein turut mengundang Elliot Summer, seorang artis visual di MLMA dan juga penyanyi rap Priddy. Imej ketiga-tiga ditonjolkan dalam gaya yang lebih energetik namun masih dengan mesej utama, individualiti. Foto-foto untuk kempen ini disempurnakan oleh jurugambar terkenal, Glen Luchford.

USAHA KELESTARIAN
Identiti Calvin Klein yang sangat sinonim dengan ton monokrom diabadikan pada perincian haruman ini. Talia tau reben hitam putih meliliti kelalang kacanya, penutup botolnya tampil dalam warna hitam. Seiring dengan kebangkitan kesedaran orang ramai tentang kelestarian alam, Calvin Klein juga mahu sama-sama prihatin dalam hal bahan-bahan yang digunakan dalam pembikinan produk mereka.
Botol dan kotak pembungkusnya dibuat menggunakan bahan kitar semula. Begitu juga dengan bahan-bahan yang dicampur aduk untuk haruman ini 77 peratusnya adalah bahan semula jadi termasuklah bahan alkoholnya.
CK Everyone EDP RM273 (100ml) dan RM377 (200ml) dan boleh dapatkannya di SINI!