Coco Mademoiselle, sebuah haruman yang membawa mesej kebebasan seorang wanita oleh Chanel. Diraikan oleh wanita-wanita seluruh dunia, tahun ini haruman ini hadir dengan set edisi terhad nan cukup eksklusif!
“L is for the way you look at me
O is for the only one I see
V is very, very extraordinary
E is even more than anyone that you adore and….”
Agak sukar untuk saya membuang bayangan figura Keira Knightley di dalam komersil Coco Mademoiselle bila-bila saja saya terdengar lagu nyanyian Joss Stone itu. Knightley yang melangkah dalam balutan gaun merah menyerlahkan biasan seorang wanita yang elegan dan begitu bebas mindanya.
Sebelum Knightley, supermodel legenda, Kate Moss terlebih dahulu menjadi wajah rasmi haruman yang membias warna pic keemasan yang jelas terlihat pada kelalang jernih berseginya.
Hari ini aroma semerbak Coco Mademoiselle disemarakkan dengan kemunculan wajah barunya, Whitney Peak. Wanita yang berasal dari Uganda dan berhijrah ke Kanada bersama keluarga pada usia sembilan tahun ini baru sahaja menginjak usia 21 tahun. Namanya menjadi buah mulut apabila membintangi siri Gossip Girl untuk dua musim.
Coco Mademoiselle membawa imej sebuah haruman yang seksi, yang digemari wanita moden yang berani, berfikiran terbuka, punya karakter yang dominan namun masih mencerminkan sisi feminin. Jadi bila mereka mencari wajah baharu untuk mewakili haruman yang sudah berusia melangkaui dua dekad ini, mereka mahu satu figura yang sempurna dengan ciri-ciri tersebut.
5 VARIAN COCO MADEMOISELLE
Haruman ini diperkenalkan Chanel pada tahun 2001. Jacques Polge atau dikenali juga dengan gelaran ‘The Nose’ adalah individu penting di sebalik pembikinan haruman ini.
Jacques menjadi nadi utama dunia haruman di Chanel sejak 1978 sampailah ke tahun 2015. Haruman ini disimpulkan Chanel sebagai sebuah haruman untuk wanita yang meletakkan kebebasan sebahagian arah tuju utamanya.
Selain Coco Mademoiselle, haruman ini juga punya empat lagi varian lain yang menyuntik mood berbeza namun masih dalam nuansa yang sama. Dalam lima pilihan paling kurang pasti ada satu yang menawan jiwa. Mungkin kelima-limanya?
COCO MADEMOISELLE
Bahan-bahan ramuannya dicipta dengan bayangan aroma yang sensual, segar dan punya unsur kayuan amber. Sebagai sebuah haruman yang kental imej femininnya, masakan sempurna andai tidak didominasi bauan bunga-bungaan. Kuntuman melati (jasmine) dan kelopak mawar menebarkan sebuah aroma yang cukup bold.
COCO MADEMOISELLE EAU DE PARFUM INTENSE
Bagi varian yang ini aromanya sedikit manis dengan suntikan vanila. Tambah menarik kacang tonka juga ditambah dalam paduan ramuan asal Coco Mademoiselle.
COCO MADEMOISELLE L’Eau Privée
Andai anda seorang yang sukakan sebuah haruman yang ‘manis’ dengan sentuhan aroma buah-buahan, anda mungkin akan terpikat dengan yang ini. Bauan amber dan manis buah-buah disenyawakan lantas terhasil sebuah haruman yang menurut Chanel cocok sekali disemburkan pada tubuh di waktu malam.
COCO MADEMOISELLE EAU DE TOILETTE
Keintiman ramuan aroma nan lebih ringan namun masih signifikan. Masih menggabungkan unsur amber dan buahan, dan untuk edisi EDT ini, Coco Mademoiselle dilengkapi dengan percikan laici dan anggur. Hmmm… dari ramuannya sudah terbayang betapa segarnya gabungan ini.
COCO MADEMOISELLE PARFUM
Bayangkan bila anda berjalan, dan ada saja orang menoleh ke belakang… macam dalam filem atau iklan. Mungkin inilah yang boleh anda imaginasikan bila menyembur Coco Mademoiselle Parfum. Paduannya lebih mewah dan bold. Kesegaran dan kemewahan hasil kemesraan amber, bunga mawar dan kuntuman iris pallida. The quintessence of COCO MADEMOISELLE.
Dan musim ini, Chanel memperkenalkan set istimewa buat anda, antaranya Coco Mademoiselle Set The Essentials Eau De Parfum 100ml dan The Body Oil 200ml, RM1,135. Turut ada, Coco Mademoiselle dan Rouge Coco Flash Set Coco Essentials, RM838.
Kunjungi pop-up eksklusif Coco Mademoiselle di Suria KLCC bermula 24 April sehingga 6 Mei 2024 atau anda boleh dapatkan rangkaian haruman ini di pautan INI!
BACA: Chanel Chance Eau Fraiche EDP, Karakter Wangian Baru Untuk Wanita Chic