Tahun 2019 menyaksikan kali pertama koleksi Louis Vuitton dipentaskan di New York, dan pada waktu itu ia dipersembahkan di TWA Flight Center di JFK Airport. Dan untuk koleksi Cruise 2027, rumah fesyen ini kembali ke kota metropolitan ini.
Muzium seni, The Frick Collection di New York menjadi pilihan pengarah kreatif Louis Vuitton, Nicolas Ghesquière untuk mempersembahkan koleksi Cruise 2027. Pemilihan lokasi ini dilihat berpadanan dengan visi himpunan ini yang mempertemukan gaya dan energi Paris dan New York. Malah koleksi ini juga adalah satu penghormatan buat pelukis pop terkenal Keith Haring yang mana elemen dan karakter karya Keith boleh dilihat menerusi cetakan grafik, warna-warna yang bold dan edgy.
Karakter dan ciri koleksi ini diperkuatkan lagi dengan sentuhan solekan yang berinspirasikan era 70-an oleh Dame Pat McGrath, Pengarah Kreatif Kosmetik Louis Vuitton. Visi Pat McGrath mahu menampilkan gabungan keanggunan Paris bersama aura downtown cool New York era 70-an menerusi solekan yang elegan secara semula jadi dengan sentuhan sedikit raw atau bersahaja. Bila bercakap tentang inspirasi solekan 70-an, terbayang di kepala saya gaya berani ikon fesyen era tersebut seperti Stevie Nicks, Bianca Jagger sampailah ke Diana Ross.
Fokus utama diberikan pada bahagian mata dengan teknik kontur lembut pada kelopak mata menggunakan LV Ombre 150 Beige Memento dan LV Ombres 896 Monogram Rouge. Olesan pembayang mata ini tidak terlalu bold, lebih lembut dan bersahaja.
Solekan ini kemudiannya diseimbangkan dengan gaya bibir yang lebih spontan, efek sedikit kabur seakan lips stain sempurna dalam rona nude, beri dan merah menggunakan LV Baume 010 Nude Poetry dan LV Crayon 896 Monogram Rouge.
New York sememangnya terkenal dengan pelbagai identiti, budaya dan pengalaman yang cukup erat menyatu. Ia bukanlah sebuah kota yang terikat pada satu karakter semata, ia gabungan uptown dan downtown, gabungan masa lalu dan masa depan. Sebuah kota yang penuh attitude.
Koleksi alat solek yang digunakan untuk persembahan fesyen ini akan berada di pasaran pada bulan Jun nanti.








