Dior mengakhiri pencarian serta kajian apabila mereka berjaya menghasilkan warna hangat (warm undertone) untuk salap bibir ikonik, Dior Addict Lip Glow. Lantas menjadikan produk ikonik ini terus ke hadapan berbanding ‘rakan-rakan’ yang lain.
Dior Addict Lip Glow ialah ikon sebenar dalam dunia penjagaan bibir, ia adalah perintis dunia kecantikan dengan pengenalan salap bibir berwarna yang pertama kali diperkenalkan pada tahun 2009. Ia bukan sekadar pelembap bibir biasa tetapi ia menyerlahkan warna bibir semula jadi, berkilau dan ‘juicy’.
Jadi apa yang baharu dengan Dior Addict Lip Glow? Nampaknya Dior menaikf statusnya sebagai perintis salap bibir bila mana buat pertama kalinya mereka berjaya menghasilkan salap bibir dengan teknologi istimewa yang mana warna bibir diserlahkan mengikut pH kulit, jadi setiap orang yang memakai Dior Addict Lip Glow mempunyai warna bibir yang berbeza walaupun mencalit gincu yang sama.
Dior Addict Lip Glow hari ini berkembang menjadi produk wajib dalam rejim penjagaan diri lantas menjadi ‘senjata’ solekan apabila Dior menambah jumlah pigmen dan kilauan berkilat yang tepat. Menggunakan 97 peratus bahan semula jadi, salap bibir ini adalah pilihan produk belaian bibir yang terus disayangi penggemarnya.
Kini, di bawah bimbingan Peter Philips, pengarah kreatif dan imej untuk solekan Dior, Lip Glow—yang pada asalnya hanya tersedia dalam warna sejuk (cool tone) kini melengkapkan koleksi salap bibir ikonik ini dengan memperkenalkan rona hangat, menawarkan cara berbeza untuk menyerlahkan warna semula jadi bibir. Ini semua adalah hasil daripada teknologi Color Reviver yang unik.
“Ia adalah proses yang sangat panjang dan rumit,” kata Philips. “Dan akhirnya, kami memecahkan kod itu dan menemui cara untuk mendapatkan ton hangat dalam pelbagai warna baharu, yang memberi anda peluang untuk meningkatkan kod pH sebenar.” Pemecahan kod itu melibatkan penggunaan bahan utama, eosin, yang sifat pewarnanya membolehkan Dior mencipta warna asli ton sejuk, namun buat pertama kalinya, ramuan-ramuan ini diolah semula untuk menghidupkan palet baharu warna hangat yang memukau.
#EHksklusif 6 SOALAN BERSAMA PETER PHILIPS
Apa yang kamu boleh kongsikan tentang Dior Addict Lip glow yang baharu ini?
Bagi saya Dior Addict Lip Glow adalah satu ikon di Dior dan ia terus diraikan tahun demi tahun dan tiap generasi menyukainya. Dan kerana ia adalah sebuah ikon jadi kajian baru akan terus dilangsungkan agar inovasinya berterusan. Sebelum ini Lip Glow dibarisi dengan ton yang lebih dingin dengan efek ton merah samar. Jadi yang baharu ini kita berjaya mencipta formula baru yang menjadikan warnanya lebih hangat (warm tone). Kami di Dior sangat bangga dengan pelancaran koleksi baharu ini. Melihatkan barisan Lip Glow ini bagaikan melihat gula-gula, it’s so yummy.
Boleh terangkan tentang warna baharu yang ada?
Memandangkan warnanya berubah mengikut pH kulit, jadi pembeli kena cuba dan lihat sendiri, sama ada mereka suka ton hangat atau dingin. Saya beri contoh dua warna ini, 076 Tangerine warnanya hangat (warm undertone) 004 Coral pula pilihan untuk ton dingin. Dua warna yang hampir serupa namun mungkin berbeza bila dipakai. Bagi yang gemarkan warna merah samar, boleh pertimbangkan 038 Soft Nude untuk warm undertone dan lagi satu 012 Rosewood untuk cool undertone.
Apa yang kamu harapkan dengan pelancaran Dior Addict Lip glow yang baru ini?
Salap bibir ini hadir dengan formula yang bagus, apa yang kami katakan tentang salap bibir ini semuanya betul, ia bukan sekadar omongan kosong. Saya tak boleh memaksa orang membeli tapi saya percaya sebagai satu jenama kita perlu goda orang untuk mencubanya. Jadikan ia sebuah rangkaian yang membuah perasaan ingin cuba, ingin beli. Dan saya tak nampak atas alasan apa untuk orang tak mencubanya.
Apa bezanya mengkaji formula baharu untuk Dior Addict Lip Glow dengan kajian mencipta gincu, Rouge Dior misalnya?
Bila mencipta gincu Rouge DIor misalnya, apa yang orang lihat itulah yang orang dapat. Jika beli gincu merah, kita akan dapat merah. Semuanya tentangw arna dan pigmen serta kemasannya, sama ada pusam, glos berkilat atau velvety. Tapi yang ini ia sukar dijangka, dan itu sebenarnya yang membuatkan ia sesuatu yang menyeronokan. Jika kamu memilihw arna icy blue, tidaklah bibir kamu berwarna biru bila memakai gincu ini. Proses menghasilkan Dior Addict Lip glow ini memang menyeronokan dan sukar dijangka.
Bagaimana Dior boleh menemui formula untuk koleksi ini, yakni menghasilkan formula untuk warm undertone?
Saya sudah berada di Dior selama 10 tahun dan ia satu perasaan yang mengecewakan bila kita ada produk yang bagus tetapi seakan terbatas bila kita tak dapat menghasilkan Dior Addcit Lip Glow dengan ton hangat. Sama seperti dulu bila pemerah pipi Rosy Glow kita terhad kepada cool undertone sahaja, tapi akhirnya kita hadir dengan warm undertone. Jadi bila kita berjaya hasilkan formula warm undertone untuk Dior Addict Lip glow bagi saya itu satu permulaan dan saya percaya dalam masa akan datang kita akan hasilkan sesuatu yang lebih refine berdasarkan inovasi baru ini.
Soalan terakhir saya, ketika ini memang sudah menjadi trend, gincu dijadikan sebagai pemerah pipi. Bolehkah trik ini dilakukan menggunakan Dior Addict Lip Glow?
Kami tak pernah mencubanya setakat ini kerana ini bukan gincu biasa. Warnanya berubah mengikut pH kulit. Tetapi saya tak menghalang jika ada yang mahu mencuba. Saya memang sukakan trik ini dan saya memang sudah biasa gunakan Rouge Dior sebagai pemerah pipi. Tapi untuk Lip glow hasilnya mungkin berbeza. Saya takut ia akan kelihatan bertompok, sangat tricky untuk dicuba. Saya tak sarankan namun tak menghalang.
Dior Addict Lip glow kini sudah berada di pasaran, boleh dapatkan di butik kecantikan Dior juga secara dalam talian di pautan INI.
BACA: Natalie Portman Menjawab 12 Soalan EH! Tentang Miss Dior