Sempena musim perayaan hujung tahun, Dior Beauty menghidangkan sesuatu yang cukup menggoda menerusi Cinnamon Glaze Holiday Makeup Collection 2026. Menggabungkan rona madu, karamel dan kayu manis dengan kilauan glitter bak taburan gula pada manisan, koleksi ini membawa sentuhan fantasi ke dalam dunia kecantikan.
Kali ini, Dior mengajak kita mengintai 30 Montaigne, alamat ikoniknya di Paris yang diubah menjadi sebuah magical gingerbread house. Bayangkan dunia dongeng yang dihiasi gula berkilauan, manisan yang memikat selera dan suasana penuh magis. Bezanya, daripada rambang mata memilih biskut, kita mungkin lebih terpesona melihat barisan produk solekan yang tersedia.
Dicipta oleh Peter Philips, Pengarah Kreatif dan Imej Dior Makeup, koleksi ini menampilkan rona hangat yang diinspirasikan oleh rempah-ratus dan manisan, di samping pilihan warna sejuk dengan efek seakan gula berais. Perincian Médaillon, simbol ikonik Dior, turut menghiasi produk terpilih, menambahkan sentuhan eksklusif pada koleksi edisi terhad ini.
Rouge Dior Sequin Liquid Duo, Bibir Berkilau Bak Manisan
Ada masanya, secalit gincu sudah cukup untuk mengubah keseluruhan penampilan. Namun, untuk Holiday Season kali ini, Dior mengajak kita bermain dengan kilauan yang lebih dramatik menerusi Rouge Dior Sequin Liquid Duo.
Menampilkan 10 rona baharu yang diinspirasikan oleh manisan, gincu cecair dua hujung ini menawarkan lebih daripada sekadar warna yang memikat. Satu hujung memberikan warna berpigmen tinggi dengan kemasan no-transfer, manakala efek glitter yang lebih menyerlah muncul apabila bibir dirapatkan.
Inginkan kilauan tambahan? Hujung satu lagi dilengkapi pengilat bibir lutsinar yang boleh disapu di atas warna pilihan untuk menghasilkan efek lebih berkilau. Daripada rona lembut yang manis dipandang kepada bibir penuh glitter yang mencuri perhatian, semuanya bergantung pada gaya yang ingin ditampilkan.

Dior Mèdaillon, Balm Bibir Wajib Jadi Koleksi
Kalau ada produk yang membuatkan kita terpesona sebelum sempat menggunakannya, Dior Médaillon mungkin salah satunya. Balm bibir edisi terhad ini hadir dalam bekas dekoratif yang diinspirasikan oleh Médaillon Dior, lengkap dengan ukiran terperinci, reben Fontanges dan tandatangan Dior di bahagian tengah.
Rekaannya mengambil inspirasi daripada seni Rococo abad ke-18 yang dikaitkan dengan salun Dior, menjadikan bekasnya tampak seperti aksesori kecil yang mempunyai nilai estetik tersendiri. Pendek kata, produk ini bukan sahaja menarik untuk disimpan dalam beg solekan, malah cukup cantik untuk menghiasi meja solek.
Di sebalik bekasnya yang memikat, balm ini menawarkan kemasan glitter dengan kilauan merah jambu kebiruan. Formulanya turut diperkaya dengan bahan penjagaan berasaskan bunga untuk membantu mengekalkan kelembapan dan keselesaan bibir.
Buat pencinta produk kecantikan yang mudah jatuh hati pada pembungkusan eksklusif, yang ini mungkin menguji tahap ketahanan diri daripada menambah satu lagi koleksi ke dalam troli!

Dior Forever Glow Luminizer, Sentuhan Kilau Bak Cahaya Keemasan
Solekan berinspirasikan manisan tidak lengkap tanpa sedikit kilauan pada wajah. Menerusi Dior Forever Glow Luminizer, Dior memperkenalkan rona edisi terhad 029 Frozen Médaillon, dengan gabungan warna peach dan kilauan keemasan yang memberikan efek berseri.
Rona ini melengkapkan palet warna hangat Cinnamon Glaze dengan sentuhan cahaya yang lembut. Sapukan pada tulang pipi untuk menyerlahkan dimensi wajah atau tambahkan sedikit kilauan pada bahagian yang ingin ditonjolkan. Hasilnya boleh disesuaikan mengikut cita rasa, sama ada mahukan seri semula jadi atau penampilan yang lebih glamor.
Sudah tentu, motif Médaillon pada permukaan bedak turut menjadi tarikan tersendiri. Ada sesuatu tentang produk solekan dengan perincian secantik ini yang membuatkan kita berfikir dua kali sebelum menyapukan berus padanya!

Diorshow 5 Couleurs, Dua Palet Dengan Karakter Berbeza
Beralih kepada solekan mata, Diorshow 5 Couleurs tampil dengan dua palet edisi terhad yang membawa dua suasana berbeza. Satu sarat dengan kehangatan rempah dan karamel, manakala satu lagi bermain dengan rona sejuk yang mengingatkan kita kepada lapisan gula berais.
623 Cinnamon Glaze menggabungkan rona nude, madu keemasan, jingga karamel dan coklat biskut. Palet ini sesuai untuk mereka yang gemarkan solekan mata bernuansa hangat, daripada sapuan lembut untuk penampilan siang hari hingga gabungan warna lebih mendalam untuk acara malam.
Sebaliknya, 926 Frosted Delights tampil dengan rona biru berais, emas antik, beige bersatin dan perak berpigmen tinggi. Kombinasi ini memberikan pilihan kepada mereka yang mahu keluar daripada zon selesa warna neutral dan bereksperimen dengan solekan mata yang lebih berani.
Kedua-dua palet turut dihiasi motif Médaillon yang dikelilingi corak cannage, antara elemen reka bentuk ikonik Dior. Permukaan pembayang mata dengan kemasan mutiara menyerlahkan lagi perincian tersebut, menjadikan palet ini sama menarik dipandang mahupun digunakan.
Jika Cinnamon Glaze ibarat kehangatan biskut yang baru keluar dari ketuhar, Frosted Delights pula membawa suasana dingin yang segar. Dua karakter berbeza, tetapi kedua-duanya punya daya tarikan tersendiri.

Manisan Sebagai Inspirasi, Kilauan Sebagai Penyeri
Menerusi Cinnamon Glaze Holiday Makeup Collection 2026, Dior membuktikan bahawa inspirasi kecantikan boleh hadir daripada dunia fantasi yang dekat dengan imaginasi, termasuk rumah roti halia dan manisan kegemaran. Rona madu, karamel dan kayu manis menyuntik kehangatan, sementara efek glitter serta warna berais memberikan sentuhan dramatik pada rutin solekan.
Gabungan warna, tekstur dan perincian Médaillon turut mencerminkan pendekatan Dior dalam mengolah produk kecantikan dengan sentuhan mewah. Sama ada anda peminat bibir berkilauan, pembayang mata bernuansa hangat atau produk dengan pembungkusan yang memikat, koleksi ini menawarkan pelbagai cara untuk menyambut Holiday Seasondengan gaya tersendiri.
Dior Cinnamon Glaze Holiday Makeup Collection 2026 boleh didapati di butik Dior terpilih dan melalui laman web rasmi Dior Beauty Malaysia.
![]()
Artikel Berkaitan: Francis Kurkdjian Kembalikan 13 Warna Asal Haruman Ikonik Dior
