Dior Sauvage, haruman ikonik buat lelaki Dior era 2000-an kini memanjangkan penjenamaannya dengan himpunan penjagaan kulit buat lelaki.
Dior Sauvage Elixir adalah antara haruman kesukaan saya. Baunya tahan lama, disembur di pagi hari, baunya boleh tahan sampai ke malam. Memang sedap baunya, memang buat orang bertanya minyak wangi apa yang saya pakai.
Jadi bila Dior memperkenalkan rangkaian belaian kulit untuk lelaki dengan nama ‘Sauvage’ saya fikir ia satu rencana yang sangat menerujakan. Nama ‘Sauvage’ sudah sinonim buat peminat haruman Dior, jadi kehadiran tiga produk untuk kulit menguatkan lagi Dior Sauvage. Menjadikan kaktus sebagai sumber bahan utama dalam ketiga-tiga produknya, Sauvage menawarkan satu rejim belaian kulit buat lelaki yang ringkas namun menyeluruh.
LANGKAH 1; MEMBERSIH
Berbanding dengan kulit orang perempuan, kulit lelaki menghasilkan 50 peratus minyak lebih banyak dek kerana tekstur kulit yang lebih tebal. Jadi langkah membersihkan kulit amatlah penting dalam rutin penjagaan kulit. Dior Sauvage The Cleanser memastikan cucian wajah lebih menyeluruh dengan menggunakan ekstrak dan arang, Pembersih ini tidak mengeringkan kulit, membuatkan wajah lebih segar dengan keberkesanan menyingkir kotoran hampir 99 peratus.
LANGKAH 2; MENYEGAR
Sama seperti penjagaan lazim, penggunaan penyegar atau toner amatlah penting untuk mengetatkan pori wajah. Tambahan pula pori kulit lelaki lebih besar berbanding perempuan membuatkan ia tampak lebih kasar.
Sauvage Toner menggunakan formula kaktus, yang mana titisan dalam tekstur losen mengurangkan tanda-tanda keletihan pada wajah dan ia juga mempunyai efek dingin seperti ais batu lantas membuatkan wajah sangat segar. Bagi yang sering bercukur, losen ini juga membuatkan kulit berasa lebih nyaman.
LANGKAH 3; SERUM
Dior Sauvage melengkapkan rejim penjagaan dengan sapuan serum, yang mana serum yang dibariskan dalam himpunan ini datang dengan objektif mahu mengurangkan tanda penuaan. Kulit lelaki lebih mudah kering dan menyebabkan tanda penuaan lebih cepat kelihatan.
Serum ini datang dengan formula yang diambil dari minyak yang diekstrak dari pokok kaktus. Teksturnya ringan, tidak membuat kulit rasa melekit. Ia juga menawarkan kesan kulit yang lebih hidrat hampir 100 jam. Hebat kan?
Rangkaian penjagaan kulit Dior Sauvage akan mula berada di pasaran Mac ini secara dalam talian dan juga butik kecantikan Dior.