Dior Beauty mahu meminimumkan produk buat anda yang mungkin sibuk dengan komitmen harian, tiga produk sudah cukup sebagai belaian asas.
Tak banyak produk, tak perlu ambil masa yang panjang dan tak renyah untuk digunakan. Tiga hal ini mungkin menjadi objektif utama pabila pakar kecantikan Dior bersidang untuk memperkenalkan tiga produk ini. Bukan produk baru namun dipertingkatkan formula dan teknologinya, dan kombinasi ini dilihat sudah memadai untuk membelai kulit anda yang sibuk.
La Mousse OFF/ON
Secara peribadi (bukan bias), ini antara kegemaran saya. Mengapa? Bila mencuci wajah saya memang sukakan pencuci yang banyak buih, tapi selalunya bila banyak buih kulit akan kering dan berasa tegang. Tapi tidak yang ini, buihnya banyak tapi kulit masih rasa lembap terhidrat.
La Mousse OFF/ON dicipta dengan formula yang sesuai dengan semua jenis kulit, baik untuk perempuan mahupun lelaki. Tahun ini pencuci ini dinaik taraf dan dimewahkan dengan water lily yang dipetik dari taman bunga Dior sendiri. Water lily yang lazimnya hanya boleh dipetik pada bulan Mei punya kemampuan untuk mengekalkan penghidratan kulit.
Tambah istimewa, pencuci wajah ini menguatkan pertahanan kulit, merapatkan pori dan selepas beberapa hari anda akan dapat rasakan kulit lebih halus dan berseri.
Dior Eye Patches
Dengan logo Dior yang tercetak pada eye patch ini, ia bukan buat kita saja rasa ‘cooling’ dengan efek pupur ini, bahkan kita sendiri rasa lebih ‘cool’. Pupur kepingan ini bagaikan quick fix yang membuatkan mata lebih segar di waktu pagi. Ia dilengkapi dengan asid hyaluronik yang menghidrat sekitar mata dan juga niacinamide yang mencerahkan sekitar mata. Ia juga disempurnakan dengan kandungan kafein yang punya manfaat memudarkan lingkaran gelap bawah mata. Hanya 10 minit, bahagian sekitar mata terasa lebih segar.
Le Baume Dengan Bekas Edisi Terhad
Penghidrat bibir, tangan, wajah dan mana-mana bahagian tubuh yang anda mahu, Le Baume krim yang seakan mesti ada dalam tas tangan generasi masa kini. Ia melembap dengan manfaat dari ramuan seperti minyak jojoba, squalane, mentega shea, asid hyaluronik dan centella asiatica. Krim pelembap multi guna ini kini tampil dalam bekas bercorak Toile de Jouy edisi terhad, warna merah samar yang cukup feminin.
BACA: 9 Sebab Mengapa Pameran Christian Dior Designer of Dreams di Seoul Paling Menarik Setakat Ini