Tidak sempat ke spa atau kehabisan sheet mask kegemaran anda? Jangan risau, dapur anda mungkin ada penyelamatnya. Kadang-kala, solusi untuk kulit glowing bukan datang dari botol mahal, tapi dari bahan semula jadi yang sudah sedia ada di rumah.
Sudah tiba masa untuk manjakan kulit tanpa perlu keluar rumah atau labur bajet besar. Kadangkala, rahsia kulit sihat dan glowing itu tersimpan rapi di dapur sendiri cuma perlu tahu cara yang betul untuk memanfaatkannya. Tapi sebelum itu, jangan lupa lakukan patch test terlebih dahulu untuk elak sebarang iritasi atau alahan.
Kulit cantik bukan soal produk mahal atau trend viral semata-mata, tapi tentang konsistensi dan memilih ramuan yang serasi dengan kulit anda. Kali ini, EH! kongsikan lima resipi DIY face mask paling ringkas dan berkesan, sesuai untuk pelbagai jenis kulit semuanya menggunakan bahan semula jadi yang mudah didapati di rumah anda sendiri.
1. Madu & Yogurt
Kulit kusam dan kering boleh buat wajah nampak lesu dan tidak bermaya. Untuk pulihkan seri semula jadi kulit, cuba gabungan madu dan yogurt asli dengan hanya campurkan satu sudu makan madu dengan satu sudu makan yogurt, kemudian sapu rata ke seluruh wajah. Biarkan selama 15-20 minit dan bilas dengan air suam. Hasilnya, kulit akan terasa lembap, licin dan tampak lebih cerah berseri.
2. Kunyit & Susu
Kalau anda sedang bergelut dengan masalah jerawat atau kesan parut yang degil, campuran kunyit dan susu ini patut masuk dalam rutin kecantikan anda. Kunyit terkenal dengan sifat anti-radang dan antioksidan yang membantu menenangkan jerawat serta mencerahkan parut, manakala susu segar berfungsi melembapkan dan meratakan tona kulit. Sapukan nipis ke wajah dan biarkan selama 10-15 minit sahaja. Tapi hati-hati jangan biar terlalu lama, takut tinggalkan kesan kuning.
3. Oat & Pisang
Kulit anda mudah merah, pedih atau terasa tegang? Jangan risau oat dan pisang ini ibarat pelukan lembut untuk kulit sensitif. Oat berfungsi sebagai agen penenang semula jadi yang membantu mengurangkan kemerahan dan iritasi, manakala pisang yang kaya dengan vitamin dan kelembapan membantu menyuburkan kulit dari dalam. Caranya, hanya lenyekkan setengah biji pisang dan campurkan dengan dua sudu makan oat kisar sehingga menjadi pes yang lembut. Sapukan pada wajah dan biarkan selama 15-20 minit. Bilas dengan air suam.
4. Lemon & Putih Telur
Jika anda impikan kulit flawless dengan pori-pori yang halus dan bebas minyak, mask ini patut anda cuba. Gabungan putih telur dan jus lemon boleh membantu mengecilkan liang pori dan menyerap lebihan sebum yang boleh menyebabkan jerawat. Caranya adalah denagn asingkan satu biji putih telur dan pukul hingga berbuih ringan. Tambahkan beberapa titis jus lemon, kemudian sapukan lapisan nipis ke seluruh wajah dan biarkan ia kering sepenuhnya sebelum dibilas dengan air suam. Sesuai untuk anda yang memiliki kulit berminyak atau kombinasi.
5. Avokado & Minyak Zaitun
Siapa sangka hanya dengan setengah biji avokado dan satu sudu teh minyak zaitun, anda sudah boleh hasilkan masker anti-penuaan semula jadi. Kedua-dua bahan ini sarat dengan nutrien penting untuk melindungi dan menyuburkan kulit. Lenyekkan isi avokado hingga halus, kemudian campurkan bersama minyak zaitun. Sapu rata ke seluruh wajah dan biarkan selama 15 minit. Avokado kaya dengan antioksidan dan vitamin E yang membantu melawan radikal bebas, melembapkan secara mendalam dan mengekalkan keanjalan kulit. Minyak zaitun pula menambah lapisan perlindungan dan kilauan sihat pada wajah.
Artikel Berkaitan: Kulit Juga Perlu Rehat! Ketahui Apa Itu Skin Fasting