Diptyque punya variasi haruman ikonik dalam katalog minyak wanginya, dan kepelbagaian ini menjadikan banyak haruman yang mahu diraikan kembali saban tahun.
Jika awal tahun ini, Diptyque sudah mengangkat haruman ‘Rose’ dalam satu keraian yang sangat istimewa, kini tiba giliran Do Son pula untuk menyinar.
Do Son, satu lagi haruman yang digilai peminat Diptyque. Diperkenalkan pada tahun 2005, sejak itu Do Son melakar pelbagai sejarahnya tersendiri dan terus menjadi kegemaran. Do Son diinspirasikan oleh Yves Couslant yakni salah seorang pengasas Diptyque sendiri.
Menurut cerita Couslant mendapat ilham untuk menghasilkan Do Son berpandukan pengalaman zaman kecilnya. Pada waktu itu dia sering meluangkan waktu cuti musim panasnya di Indochina. Dia sering sahaja duduk di pagoda yang dibina ayahnya di Do Son, Halong Bay.
Dari segi aromanya, Do Son dicipta berdasarkan memori Couslant akan bau dingin laut, jauh beza dengan kehangatan suasana di pelabuhan Haiphong. Couslant melembutkan aroman haruman ini dengan menyuntik bau tuberose yang mana ia adalah bau yang menjadi kesukaan ibunya.
Do Son edisi terhad ini tampil dalam kelalang jernih yang menonjolkan warna minyak wangi ini yang kebiruan. Mengapa biru? Kerana ini adalah terjemahan Diptyque akan kuntuman bunga tuberose yang bagaikan terapung di tengah lautan. Dan sememangnya di pasara Haipong, bunga tuberose sering saja digubah bersama bunga kenanga dan melati dan dibalut dengan daun, dijadikan hadiah.
Haruman ini dikategorikan dalam kelompok bunga-bungaan sementelah ia turut dihidupkan dengan bau kuntuman melati serta orange blossom. Hadir dalam versi eau de toilette dan eau de parfum, Do Son edisi terhad kini boleh didapati di butik Diptyque, Ken’s Apothecary dan juga secara dalam talian. Eau de toilette Do Son, RM649 (100ml), RM319 (30ml) dan Eau de parfum Do Son, RM759 (75ml). Lilin Tubereuse edisi terhad turut membarisi himpunan ini (juga dalam warna biru), RM509.
Lebih istimewa, jurugambar dan pengarah filem terkenal dengan imaginasi fantasinya, Tim Walker turut menyajikan sesuatu yang istimewa buat Do Son edisi terhad ini. Dia merakam kelalang haruman ini dalam fantasi ‘pagodanya’ yang tersendiri. Istimewa buat penggemar Do Son dan Tim Walker, terdapat buku istimewa yang dijual di butik Diptyque (RM509).
Baca: Lily-Rose Depp, Bintang Kempen Koleksi Mekap Chanel Musim Bunga