Seiring dengan pembukaan butik tunggalnya di The Exchange TRX, Dolce & Gabbana Beauty juga sudah boleh dimiliki di Malaysia.
Dengan pembukaan The Exchange TRX maka berderu jugalah jenama-jenama fesyen dan kecantikan yang tidak pernah berada di Malaysia kini membuat kemunculan debut di tanah air. Antara yang menggamit minat tentunya Dolce & Gabbana Beauty yang mana kaunternya ditempatkan di Seibu. Rangkaian alat solek bersama dengan koleksi haruman melengkapkan kaunter sulung Dolce & Gabbana Beauty ini.
Pembukaan kaunter ini juga nampaknya seiring dengan pelancaran haruman terbaru jenama fesyen Itali ini yang dinamakan sebagai Devotion. Dan tidak cukup dengan haruman semata, Devotion juga dilengkapi juga dengan beberapa produk solekan yang melengkapi koleksi ini.
Devotion Make Up Collection dicipta berteraskan idea malar segar dan kontemporari yang mementingkan tiga elemen penting yakni emosi, bersahaja dan juga kualiti produk itu sendiri. Ada Koleksi ini dibarisi tiga produk utama iaitu Devotion Extreme Volume Mascara, Face Illuminator, dan juga Liquid Mousse Lipstick. Dan tiap produk ini dihasilkan dengan bahan dan formula vegan serta bahan semula jadi yang disemai oleh komuniti kecil di Itali sendiri. Biarpun hanya tiga produk namun pilihan warna nan pelbagai menjadikan koleksi ini sangat versatil; natural hingga riasan yang lebih bold.
Devotion Illuminating Face Powder Hadir dalam satu ton yang sangat universal, sesuai dengan semua jenis ton kulit. Ia membuatkan kulit kelihatan sempurna dari kesan minyak dan bertahan sehingga 16 jam. Hanya perlu layangkan pada wajah yang sudah siap dirias agar asas solekan tampak berseri sepanjang hari.
Devotion Liquid Mousse Lipstick hadir dengan sembilan warna, dari yang tampak natural hingga yang merah menyala. Bukan sekadar menjual warna, gincu ini juga diperhebat dengan formula vegan dan juga mengandungi asid hyaluronik yang memelihara bibir agar kekal lembap selain warna gincu tahan selama 16 jam.
Devotion Extreme Volum Mascara hadir dalam satu warna sahaja yakni hitam dan diperhebat dengan kemasan yang berkilat. Ia juga mengandungi formula D-Panthenol yang menguatkan bulu mata. Formulanya juga membuatkan bulu mata 205 peratus lebih volum. Menarik bukan?
Kempen koleksi ini diabadikan oleh jurugambar Hugo Comte yang mana dia cuba mengekalkan identiti Dolce & Gabbana sebagai sebuah jenama yang sangat utuh jiwa dan ‘rupa’ Italinya. Dirakamkan di kepulauan Ortigia, lokasi ini terletak di Syracuse, Sicily, salah satu tempat yang sangat ikonik.
BACA: 5 Rahsia Bunga Citra Lestari Kekal Cantik Pada Usia 40-an