Terma dolphin skin mengambil tempat istilah solekan dewy, inilah trik solekan baharu yang jadi kegilaan. Ayuh kuasai sebelum kamu ketinggalan.
Pelik mendengar ‘dolphin skin’ dan apa kaitannya dengan solekan. Jika sebelum ini kita sudah terbiasa mendengar trend dewy makeup, kini tiba giliran dolphin skin mengambil alih. Menurut apa yang saya baca sebelum ini, terma dolphin skin ini datangnya dari jurusolek terkenal Mary Phillips yang sememangnya terkenal di kalangan Selebriti Hollywood. Dia seringkali menjadi pilihan untuk merias wajah Jennifer Lopez dan juga adik-beradik Kardashian.
Jadi apa dan mengapa dolphin skin? Dinamakan sebagai dolphin skin kerana kulit ikan lumba yang muncul di permukaan air kelihatan cantik, nampak anjal, pejal, berkilat-kilat dan nampak segar. Jadi dari situ datangnya ilham untuk Mary Phillips menghasilkan gaya solekan yang memimikkan rupa ikan lumba-lumba yang selalu nampak fresh. Tapi satu pesan saya, kamu perlu bijak memilih acara , masa atau tempat untuk menggayakan solekan ini, faham-fahamlah dengan cuaca negara kita ya.
Asas Solekan, Langkah Paling Penting
Sama seperti solekan lain, kulit haruslah disediakan terlebih dahulu. Sapuan pelembap dan primer jadi satu kemestian. Boleh juga Jika dicampurkan serum jika keadaan kulit memerlukan, asalkan kulit wajah betul-betul lembap.
Menurut Mary Phillips biasanya dia akan menyapu highlighter dalam jenis cecair pada tulang pipi, hujung batang hidung untuk mendapatkan efek kulit bersinar bagaikan mutiara. Tapi pastikan tidak terlalu banyak, dan seeloknya panaskannya dengan menggosok-gosok highlighter di antara dua jari sebelum aplikasi. Kemudian barulah disapukan bedak asas pada seluruh wajah dan seeloknya pilih yang jenir sheer atau luminous untuk efek fresh dan ringan. Untuk menyudahkan keseluruhan solekan asas, layangkan bedak tabur (yang jenis translucent) tetapi sikit sahaja untuk set solekan, jika terlalu banyak akan menghilangkan efek berkilau yang dicipta awal tadi. Mungkin layangkannya pada bahagian yang mudah berminyak seperti dahi, bawah mata, dagu dan hidung.
Artikel Berkaitan: Rahsia Cantik Ameera Khan, Sapu Creme De La Mer Pada Punggung
Efek Pipi Bersinar-Sinar
Kemudian sapukan bronzer pada bawah tulang pipi. Caranya mudah, hanya sebut huruf ‘O’ dan sapukan pada bahagian hollow/tersedut. Sapukan sedikit pada atas tulang pipi. Kemudian abrulah sapukan pemerah pipi, seeloknya pilih yang krim kerana kita mahu dapatkan efek yang lembap dan tekstur yang nampak mesra pada kulit. Jika mahu ekstra efek boleh lapiskan dengan highlighter jernih (polos warna) pada bahagian yang sudah dilayangkan bronzer dan pemerah pipi.
Riasan Mata dan Bibir
Elakkan apa-apa sahaja Jenis pembayang mata bertekstur pusam. Seeloknya pilih jenis berkrim kerana ia memberi efek yang lebih lembap pada kulit. Cukup adunkan satu dua warna kerana anda mahu efek yang fresh. Untuk bibir pun sama, elakkan gincu pusam. Sapuan glos adalah satu kewajipan untuk mendapatkan efek ‘dolphin skin’ yang sempurna.