Dua jenama ikonik Korea berbeza industri menjalin kolaborasi, dan pastinya ia satu jalinan kerjasama yang cukup menarik. Laneige dan jenama elektronik tersohor Samsung menggabungkan dua produk ikonik mereka untuk satu koleksi edisi terhad.
Pada pandangan saya kolaborasi ini bukan sekadar jalinan kerjasama bersifat komersial, tapi ada mesej yang cuba disampaikan. Kedua-duanya adalah satu produk esensi yang kita gunakan saban hari, malah Samsung sendiri banyak menghasilkan produk elektronik yang pastinya punya cahaya biru, jadi Laneige Neo Cushion Phantom satu produk yang secocok digandingkan bersama peranti Samsung.
Laneige menyajikan bedak kusyen ikoniknya, Neo Cushion Phantom dalam bekas berona ungu seiring dengan Samsung Galaxy Buds Pro yang turut dibekaskan dalam bekas pusam dalam warna serupa (phantom violet).
Laneige memang dikenali dengan barisan bedak kusyennya, malah mereka adalah pencetus kepada teknologi solekan ini. Terbaru, Laneige sekali lagi mencipta sejarah apabila menjadi jenama pertama yang memperkenalkan bedak kusyen dengan tapisan cahaya biru. Jika ada yang tidak tahu apa itu cahaya biru ia adalah merujuk kepada cahaya yang datang dari alat elektronik seperti telefon bimbit, televisyen dan komputer. Samsung Galaxy Buds Pro pula adalah fon telinga yang dilengkapi dengan teknologi menepis gangguan bunyi dan bentuknya pula melekap sempurna di telinga.
Untuk kolaborasi ini Laneige Neo Cushion Phantom hadir dalam warna 21N. Tidak hanya disempurnakan dengan pelindung cahaya biru, ia juga dilengkapi dengan Vivid Coverage TechnologyTM yang mana bertindak untuk memastikan bedak asas meresap mesra apda kulit dan Humid DefenseTM Technology yang kalis peluh 24 jam, jadi ia satu pilihan tepat untuk anda yang mudah berpeluh atau yang anda yang mahu menggunakan bedak asas sewaktu bersukan. LANEIGE Limited-Edition NEO Cushion Phantom Violet |Samsung Galaxy Buds Pro Bundle Set (RM799) boleh dimiliki bermula 29 Julai sempena LANEIGE Super Brand Day di Shopee. Dan pada 1 Ogos pula ia boleh didapati di LANEIGE Social Store di Facebook.
Artikel Berkaitan: Lima Foundation Paling Disukai Masa Kini