Tidak susah untuk memilih haruman lelaki yang paling popular di Dior. Tanyalah mana-mana lelaki atau wanita untuk menamakan satu haruman lelaki dari rumah fesyen Paris ini, saya percaya rata-ratanya akan menjawab Dior Sauvage. Dan kami mahu meletakkannya sebagai Haruman Maskulin Ikonik!
Hari ini, Sauvage amatlah sinonim dengan Dior. Malah haruman ini sering saja mendepani mana-mana haruman lelaki, baik di Dior sendiri mahupun di dalam dunia pembikinan haruman sendiri. Sauvage, jika menurut sejarah ia diperkenalkan oleh pakar haruman Dior suatu ketika dulu, François Demanchy. Menurut cerita buah fikir mencipta Sauvage terinspirasi dari kawasan lapang di Barat Amerika. Dia membayang dan memikir apakah bau yang secocok dengan ciri-ciri kawasan lapang yang bahang dan ‘berapi’.
Satu kelalang Sauvage adalah satu himpunan ramuan segar yang menawan jiwa-jiwa yang menggemarinya. Limau Mandarin yang menyegarkan deria bau, kemudian dilapisi pula dengan bau kulit lantas digandingkan pula bersama bau vanila, yang pada saya satu bahan haruman yang pantas mencirikan sesebuah haruman menjadi malar segar (timeless). Namun vanila yang diabadikan di dalam sauvage bukanlah yang biasa kita kenal yang mana lazimnya berbau lembut dan manis. Vanila pilihan Sauvage lebih ‘raw’ baunya, ada unsur kasar dan liar.
Adunan limau Mandarin segar dan tajam menusuk deria melapisi nota atas haruman maskulin ini. Di tengahnya atau apa yang dipanggil jiwa Sauvage Parfum adalah aroma kulit yang dilengkapi dengan aroma vanila. Menurut François, aroma vanila ini tidak manis seperti yang biasa kita tahu tetapi mempunyai kualiti yang lebih liar. Kayu cendana melengkapi haruman menambah kehangatan pada Sauvage.
Kayu cendana Membuat ciri maskulin pada Sauvage lebih sempurna. Tambah istimewa, kayu cendana bukan sejenis pohon yang mudah terdapat di mana-mana. Malah untuk mengekstrak minyaknya, harus menunggu lebih kurang dua dekad lamanya. Itu pun tidaklah semua pohon cendana menghasilkan minyak malah ia juga tidak mampu hidup lama. Kerana itu Dior membina tapak semaian cendana dan apabila pokok cendana tumbuh setinggi satu meter, ia dipindahkan ke hutan untuk tumbuh dengan semula jadi agar aromanya lebih ‘liar’ mengharumi.
Mengembaralah ke pautan INI untuk mengenali ciri jejaka Sauvage.